Buli doktor: Cara lapor, siasat dan tindakan perlu dilakukan badan bebas

Iklan
Petugas kesihatan adalah aset kritikal negara yang perlu dijaga. (Foto hiasan) Gambar kecil: Ahmad Yunus

SHAH ALAM - Jawatankuasa Kesihatan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mencadangkan supaya cara pelaporan, siasatan dan tindakan terhadap kes buli dalam perkhidmatan kesihatan dilakukan oleh satu badan bebas bukannya diserahkan kepada pentadbiran sesebuah fasiliti yang terlibat.

Pengerusinya, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, ini kerana petugas-petugas kesihatan adalah aset kritikal negara yang perlu dijaga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sudah masanya kerajaan memberikan yang terbaik kepada petugas kesihatan yang selama ini menjalankan tanggungjawab merawat pesakit.

"Menteri bersilih ganti dan kajian demi kajian telah dijalankan. Namun begitu, negara masih belum dapat menyelesaikan permasalahan ini secara komprehensif dan menyeluruh.

Iklan

"Kami percaya punca utama adalah kerana kegagalan kerajaan dalam menyelesaikan isu dasar sistem kesihatan negara yang telah berada paras kritikal," katanya.

Sebelum itu, seorang doktor di Sabah yang dikatakan baharu sahaja melaporkan diri di Hospital Lahad Datu ditemui meninggal dunia di rumah sewanya.

Iklan

Adik mangsa mendakwa kakaknya ditindas oleh ketua jabatan hospital tersebut selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.

Menerusi perkongsian melalui akaun Facebooknya, adik mangsa turut mendakwa, kakaknya yang sebelum ini berkhidmat sebagai ketua unit terpaksa berurusan dengan pemeriksaan instrumen, menghadiri mesyuarat, penyediaan laporan, menguruskan sumber manusia dan perancangan kewangan jabatan.

Jawatankuasa Kesihatan Ahli Parlimen PN turut menggesa agar laporan kes-kes buli ini dapat dibentangkan kepada jawatankuasa pilihan khas kesihatan parlimen dan melibatkan pemegang taruh agar masalah tersebut dapat ditangani secara tuntas dan berkesan.

"Satu siasatan yang terperinci mesti dijalankan oleh pihak berkuasa bagi membela kematian mendiang Dr Tay Tien Yaa dan menolak buli sebagai satu punca yang berkemungkinan menjadi sebab kejadian ini berlaku.

"Adalah sesuatu yang mendukacitakan isu buli masih lagi membelenggu Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2024," katanya.

Ahmad Yunus turut mempersoalkan sama ada isu buli tidak pernah selesai disebabkan tiada tindakan tegas kepada pelaku.

Jelasnya, talian myhelp yang telah diwujudkan merupakan satu inisiatif yang baik, namun ia masih tidak dapat membantu dalam menangani isu buli pengamal perubatan.

"Inisiatif yang dibuat ini juga tidak mengambil kira kekangan dan cabaran yang dihadapi petugas di lapangan.

"Selain itu, hasil kajian melalui kajian ‘Doctors only Bulletin Board System’ pada tahun 2018 menyatakan sebanyak 17 peratus responden mempunyai fikiran untuk membunuh diri akibat dibuli," katanya.