Sindiket 'counter setting' pancing mangsa melalui media sosial

Iklan
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Sindiket 'counter setting' atau laluan kaunter khas bertindak 'memancing' mangsa dengan mempromosikan pakej masuk ke Malaysia menerusi platform media sosial.

Taktik tersebut didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila Op Pump dilaksanakan bagi menahan dalang dan tali barut melibatkan pihak penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Iklan
Iklan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sindiket atau ejen 'counter setting' menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Telegram dan aplikasi media sosial lain sebagai medium bagi mendapatkan mangsa.

Beliau berkata, ejen akan menghubungi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan tarikh sesuai, seterusnya membawa masuk kumpulan warga asing ke Malaysia sebagai pelancong.

Iklan

Kata beliau, pegawai JIM kemudiannya akan memberikan 'green light' sekiranya tarikh berkenaan sesuai untuk membawa masuk warga asing masuk menerusi 'counter setting'.

"Ejen atau sindiket akan memberikan butiran pasport dan gambar kumpulan warga asing yang akan tiba menerusi WhatsApp kepada pegawai JIM terlibat.

Iklan

"Pegawai terlibat juga akan memberikan maklumat mengenai nombor 'kaunter khas' yang perlu dituju oleh kumpulan warga asing untuk pelepasan masuk ke Malaysia dengan cara 'counter setting'," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, jumlah suapan perlu dibayar kepada pegawai JIM oleh setiap warga asing yang masuk menerusi 'counter setting' adalah sebanyak RM200 hingga RM2,500.

Menurutnya, kesemua transaksi tersebut dibuat secara tunai dan bersemuka serta pembayaran tersebut dikendalikan oleh ejen atau sindiket.

"Bayaran bagi warga Bangladesh sebanyak RM2,500 dengan kod panggilan ‘school boy’, manakala warga Myanmar dengan kod panggilan junta (RM1,500) dan warga Pakistan dengan kod panggilan karpet (RM1,300).

"Ada juga kes terpencil iaitu dari Yaman dikenakan bayaran RM1,000, diikuti warga India dengan kod panggilan kicap atau roti canai (RM800), Uzbekistan (RM500), China dengan kod panggilan limau (RM350), Vietnam dengan kod panggilan laici atau nguyen (RM350) serta Indonesia dengan kod panggilan salak sebanyak RM300," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Azam mengesahkan seramai 60 individu termasuk 50 pegawai agensi penguat kuasa bersekongkol dalam kegiatan 'counter setting' di pintu negara ditahan SPRM.

Beliau berkata, kesemua suspek telah ditahan menerusi Op Pump, Op Pump 2.0 dan Ops Setting yang dijalankan sejak 20 Ogos lalu.

Katanya lagi, daripada jumlah 50 pegawai penguat kuasa yang ditahan, seramai 49 orang adalah pegawai JIM dan seorang lagi merupakan anggota wanita daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sarjan.