SUNGAI PETANI - Lelaki yang dilaporkan terjatuh sungai di Pasar Bisik Kota Kuala Muda pada Selasa dikatakan sempat menjamah pulut ikan masin sebelum kejadian.
Bapa mangsa, Hassan Desa, 82, dari Kampung Sungai Meriam 1, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu, Zubir, 30, nampak menyelerakan ketika menjamah sarapan tersebut.
Menurutnya, anaknya yang bekerja mengambil upah memetik buah kelapa tinggal bersama dengannya setelah isterinya meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu.
"Pagi itu (Selasa) dia sembang elok, makan pulut sampai perabis, selalu dia ulang-ulang makan, selepas tu dia kata nak keluar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.
Menurutnya, kejadian itu mengejutkan kerana Zubir dikatakan seorang yang mahir berenang.
Dia bagaimanapun reda dengan kejadian menimpa anaknya dan mengharapkan urusan dipermudahkan.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dikatakan berada berdekatan kawasan tebing sungai untuk melihat keadaan air pasang sebelum dilaporkan terjatuh.
"Depa kata dia dah berenang nak sampai darat, tetapi terus hilang," kata Hassan.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Ketua Zon 2 Penguasa Kanan Bomba 2 Mohd Naim Mat Jaaffar berkata, operasi dijalankan sejak Selasa sebaik sahaja menerima maklumat berkaitan kejadian.
"Cuaca ketika ini angin kencang disertai hujan dan bacaan ketinggian paras air laut mencecah 2.6 meter berbanding pada keadaan normal pada bacaan 1.6 meter.
"Kerja-kerja mencari dan menyelamat menggunakan kaedah pencarian di permukaan dan kita turut menitik beratkan keselamatan anggota sepanjang operasi melihat kepada cuaca semasa," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki dilaporkan terjatuh ke dalam muara sungai dekat Jeti Pasar Bisik, Kota Kuala Muda pada tengah hari Selasa.