Hujan berterusan dua hari, enam daerah banjir di Kedah

Iklan
Operasi pemindahan mangsa banjir di Kampung Paya Lantau, Changlun.

ALOR SETAR - Enam daerah di negeri ini dilanda banjir berikutan hujan berterusan selama dua hari sejak Isnin.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, daerah Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda dan Kulim antara yang terjejas teruk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat Rabu, sebanyak 20 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 2,267 mangsa banjir, selepas lima PPS baharu ditambah bagi menampung keperluan.

"Lima lagi PPS dibuka di Kedah menjadikan 20 buah PPS, sebanyak 603 keluarga ditempatkan di PPS membabitkan enam daerah yang terjejas akibat banjir,” katanya di sini pada Rabu.

Iklan
Rumah penduduk di Kampung Tanjung Seri, Alor Setar dinaiki air.

Zulkhairi berkata, setakat 4 petang Rabu, jumlah mangsa banjir menurun berbanding seramai 2,618 orang pada 12 tengah hari, namun PPS ditambah bagi mengatasi kesesakan.

"Ia sebagai persediaan awal hadapi bencana, kemungkinan bilangan mangsa banjir di negeri ini akan bertambah menyebabkan JKM membuka PPS baharu bagi menempatkan mangsa banjir yang terkesan," ujarnya.

Iklan

Menurutnya, operasi memindahkan mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini sedang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Selain banjir, beberapa daerah turut mengalami ribut dan angin kencang menyebabkan beberapa kawasan dilaporkan berlakunya pokok tumbang.

Antaranya di daerah Sik, Yan, Gurun, Kuala Muda dan beberapa kawasan sekitar Kuala Kedah, Kuala Nerang dan Simpang Kuala (Kota Setar).

Pusat Kawalan Operasi APM daerah Sik antara yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian ribut yang mengakibatkan 32 kes pokok tumbang.

Kerja-kerja membersihkan pokok tumbang berdekatan pejabat Majlis Daerah Sik.

Hujan lebat beserta angin kencang pada 2.14 petang selama hampir 20 minit telah menyebabkan pokok tumbang menghalang jalan dan juga merosakkan rumah penduduk.

Pegawai Pertahanan Awam (APM) Sik, Lt (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat ribut melibatkan keseluruhan daerah itu.

"Dua pasukan APM Sik digerakkan bagi memotong dan mengalihkan pokok tumbang serta membersihkan kawasan terjejas.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan waspada berikutan ramalan cuaca buruk oleh Jabatan Meteorologi Malaysia sehingga esok (Khamis),” katanya.