BEIRUT -"Kami berikrar untuk memberi hukuman setimpal ke atas Israel kerana melancarkan kempen keganasan di seluruh Lubnan.”
Amaran tegas itu diberikan pejuang Hizbullah selepas rejim Zionis didakwa meletupkan alat kelui yang digunakan anggota pejuang mereka hingga meragut sembilan nyawa manakala hampir 3,000 yang lain cedera pada Selasa.
"Musuh bertanggungjawab penuh atas jenayah kejam ini,” kata gerakan itu menerusi aplikasi Telegram.
Pada Rabu, Hizbullah sekali lagi menzahirkan solidariti dengan Palestin dan akan tetap meneruskan perjuangan bagi menyokong Gaza seperti sebelum ini.
Menteri Maklumat, Ziad Makary juga dengan lantang mengutuk serangan siber ganas itu yang sengaja menyasarkan alat komunikasi pejuang Hizbullah.
"Musuh akan dihukum secara adil atas perbuatan mereka,” katanya.
Letupan serentak itu berlaku beberapa jam selepas rejim Zionis mengumumkan rancangan untuk memperluaskan perang di rantau itu dan menetapkan objektif membawa pulang ribuan komuniti Yahudi ke utara Tel Aviv, di tengah-tengah kekejaman yang berterusan di Genting Gaza.
Analisis awal dilakukan Charles Lister di Institut Asia Barat mendapati alat letupan kecil dipasang pada bateri alat kelui tersebut.
"Ia meletup serta-merta apabila menerima mesej. Agensi risikan Mossad dipercayai menjadi dalang di sebalik rangkaian bekalan ribuan alat komunikasi tersebut dan ia melibatkan rancangan berskala besar,” jelasnya.
Sementara itu, sumber rapat Hizbullah memberitahu bekalan itu melibatkan penghantaran kira-kira 1,000 peranti yang sengaja disabotaj musuh.
Terdahulu, New York Times turut melaporkan bekalan alat kelui itu dipesan daripada pengeluar Gold Apollo di Taiwan, namun syarikat itu menafikan penglibatan mereka dengan produk berkenaan.
"Model alat kelui yang digunakan anggota pejuang Hizbullah itu dihasilkan BAC Consulting KFT berpusat di Budapest. Ia berdasarkan tanda dagangan dan model yang disebut rangkaian media,” ujar syarikat itu dalam satu kenyataan.
Rakaman keadaan huru-hara di hospital dan yang dikongsi di media sosial juga menunjukkan mangsa mengalami pelbagai bentuk kecederaan termasuk pada muka, jari putus dan luka-luka pada tubuh. - Agensi