Lelaki jatuh sungai ditemukan lemas

Iklan
Lokasi kejadian lelaki jatuh sungai berdekatan Jeti Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, Kedah.

SUNGAI PETANI - Mayat seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh sungai di Jeti Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, Kedah dibawa arus sehingga ke pesisir pantai Kampung Palas, Bertam, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mayat mangsa, Zubir Hassan, 30, ditemukan terapung sekitar jam 3 petang oleh penduduk kampung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mayat ditemukan pada jarak kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa terjatuh yang juga merupakan sempadan antara negeri Kedah dan Pulau Pinang.

"Pihak kita dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara berkaitan penemuan itu petang tadi.

Iklan

"Ahli keluarga mangsa telah dimaklumkan dan diminta hadir bagi membuat pengecaman," katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dilihat terjatuh dan hilang dibawa arus berdekatan Jeti Pasar Bisik sekitar jam 12.55 tengah hari Selasa.

Operasi mencari dan menyelamat kemudian digerakkan oleh Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan nelayan tempatan.

Bapa mangsa, Hassan Desa, 82, dari Kampung Sungai Meriam 1, sebelum ini berkata, Zubir dikatakan sempat menjamah pulut ikan masin sebelum keluar rumah.

Hassan bagaimanapun agak terkejut apabila dimaklumkan kejadian memandangkan anaknya itu mahir berenang dan tahu selok belok kawasan berkenaan.