KUALA LUMPUR - Tiga suspek kes liwat yang ditahan dalam Op Global baru-baru ini akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiga individu terbabit akan dituduh di bawah Seksyen 14(a) dan 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Iklan
Iklan
"Suspek pertama akan dituduh dengan lima pertuduhan, masing-masing satu pertuduhan mengikut Seksyen 14(b) dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 14(a).
"Suspek kedua akan dituduh dengan enam pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) manakala suspek ketiga dituduh dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 14(a),” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Minggu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun. - Bernama