MP Kluang akui ada rungutan pengundi Cina, tapi tak mewakili suara majoriti

Iklan
Wong Shu Qi

KLUANG - Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi tidak menolak wujud rungutan daripada sebilangan masyarakat Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang kurang senang dengan pergeseran berlaku antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan pimpinan DAP.

Bagaimanapun tegas beliau, ia tidak mewakili suara majoriti pengundi Cina di DUN itu.

Iklan
Iklan

"Saya tak boleh mewakili mereka (pengundi Cina) untuk cakap benda ini (rasa tidak puas hati terhadap Ketua Pemuda UMNO).

"(Rungutan) itu biasalah," katanya ketika ditemui pada program walkabout di Pasar Malam Kampung Paya di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang wujudnya ketidakpuasan hati masyarakat Cina terhadap Dr Muhamad Akmal, sehingga timbul ura-ura tindakan boikot oleh pengundi Cina, terutamanya penyokong Pakatan Harapan (PH) dengan tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.

Sebelum ini pemimpin PH Johor menyuarakan kebimbangan mengenai kelantangan Dr Muhamad Akmal berhubung isu pensijilan halal kerana berisiko menjejaskan undi daripada penyokong PH khususnya kaum Cina.

Iklan

Mengulas lanjut, Shu Qi berkata, isu membabitkan pemimpin luar tidak sepatutnya mempengaruhi sokongan pengundi terhadap calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.

Justeru, wakil rakyat DAP itu mengingatkan semua pengundi memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan ekonomi setempat.

Ini kerana ujarnya, kemenangan Syed Hussien bakal memberi isyarat jelas kepada pelabur asing dan tempatan sebagai bukti kestabilan politik Kerajaan Perpaduan.

"Sekarang kita adalah Kerajaan Perpaduan dan kerajaan ini ditubuhkan antara PH dan BN. Kita nak stabilkan politik negara kita, supaya boleh membangunkan ekonomi negara.

"Maka, adalah penting pengundi PH keluar mengundi calon BN supaya calon Kerajaan Perpaduan ini menang di DUN Mahkota. Ini juga adalah satu signal yang jelas kepada pelabur asing dan juga pelabur tempatan supaya dapat membangunkan ekonomi dengan melabur di negeri Johor mahupun seluruh negara," katanya.

Untuk rekod, pengundi Cina di DUN Mahkota meliputi 35 peratus daripada 66,318 pengundi.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu iaitu Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH, PN dan Warisan.