Nahas 10 kenderaan: Pemandu lori positif dadah

Iklan
Pasukan bomba melakukan kerja-kerja menyelamat dalam kemalangan di Jalan Tampin-Seremban pada Rabu.

SEREMBAN - Polis menahan seorang pemandu lori muatan batu susulan kemalangan membabitkan 10 kenderaan di Jalan Tampin-Seremban di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil ujian urin terhadap lelaki berusia 38 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Iklan
Iklan

Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan pada Khamis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Nor Fadzlilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir di balai polis berhampiran.

Iklan

"Siasatan kes seterusnya dilakukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, mengenai kemalangan berkenaan, beliau berkata, kejadian pada jam 1.25 petang itu melibatkan lapan kereta dan dua lori muatan batu gunung.

Iklan

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kenderaan berkenaan bergerak perlahan, dalam masa sama datang sebuah lori jenis Hino muatan batu gunung dipandu suspek dari arah Tampin ke Seremban dipercayai telah hilang kawalan.

"Berikutan itu lori telah terbabas dan melanggar kenderaan yang berada di hadapannya sehingga menyebabkan kenderaan lain yang berada di situ melanggar satu sama lain," katanya.

Beliau berkata, susulan itu seorang lelaki berusia 31 tahun iaitu pemandu kereta jenis Proton Iswara disahkan maut di lokasi akibat tersepit dalam kenderaannya kerana dihempap lori tersebut.

"Mayatnya telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk tujuan bedah siasat. Selain itu, seorang wanita berusia 48 tahun parah iaitu patah tangan kanan manakala lain-lain mangsa hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang maut dalam kejadian itu akibat tersepit dengan bantuan kren.