Tipu tuntutan khianat peranan PERKESO

Iklan
Laporan Sinar Harian.

KES tangkapan 36 individu termasuk lima doktor ortopedik atau lebih mudah difahami sebagai doktor pakar tulang kerana terlibat dalam kartel pemalsuan tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menarik perhatian ramai.

Doktor tersebut didakwa bersekongkol dengan pihak-pihak tertentu untuk mengemukakan tuntutan palsu kepada PERKESO.

Iklan
Iklan

Modus operandi mereka mudah, doktor yang tergolong dalam golongan profesional ini merupakan watak utama kerana mereka ini mempunyai kuasa besar.

Siapa tak percaya dengan sijil sakit atau laporan perubatan yang dikeluarkan oleh doktor pakar?

Iklan

Tambahan pula doktor pakar ini telah dilantik oleh PERKESO sendiri. Mesti tiada ragu-ragu jika laporan perubatan dikeluarkan oleh mereka.

Namun segelintir doktor ini telah mengkhianati amanah diberikan. Kerana wang, mata jadi gelap.

Iklan

Sanggup menipu demi wang. Lebih malang, mereka ini merupakan doktor yang berkhidmat di hospital kerajaan.

Kegiatan mereka bukan sebulan dua, difahamkan mereka aktif sejak 2017. Bayangkan berapa banyak keuntungan atas angin mereka kaut sepanjang tujuh tahun ini?

Daripada pemohon tuntutan, ejen dan doktor pakar, semua bekerjasama untuk mendapat wang dengan cara mudah tetapi tidak betul.

Dalam kes ini, pesakit atau pemohon tuntutan mendakwa mengalami kecederaan yang menyebabkan ketidakupayaan bekerja. Dengan bantuan doktor pakar, mereka dapat memanipulasi sistem tuntutan.

Lebih teruk, ada kes pemohon tuntutan tidak terlibat dalam kemalangan di tempat kerja pun, tetapi membuat tuntutan kononnya mengalami kecederaan pada tulang belakang atau ligamen anterior cruciate (ACL).

Keuntungan dibahagi 50-50 iaitu 50 peratus untuk pemohon tuntutan, manakala selebihnya di bahagi antara doktor pakar dengan ejen. Paling sedikit, doktor pakar yang tidak bertanggungjawab ini menerima RM10,000 untuk satu tuntutan.

Penglibatan doktor pakar mencetuskan persoalan serius kerana mereka memegang amanah profesional untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan pesakit.

Apabila peranan ini dimanipulasikan untuk tujuan peribadi, ia memberi kesan negatif terhadap reputasi keseluruhan sistem kesihatan.

Doktor mempunyai kuasa yang besar dalam memberikan pengesahan perubatan.

Dalam kes ini, pengesahan palsu menjadi titik utama dalam kejayaan penipuan mereka.

Bagaimana pula dengan PERKESO? Semestinya memberi kesan terhadap agensi yang bertanggungjawab melindungi kebajikan pekerja. Integriti sistem tuntutannya pasti diragui selepas ini.

Penyelewengan seperti ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada agensi, malah mengkhianati keseluruhan skim perlindungan sosial ini.

Dana yang sepatutnya membantu pekerja yang benar-benar memerlukan telah disalurkan kepada individu-individu yang tidak layak.

Dengan terbongkarnya kegiatan ini, ia memberi impak yang mendalam kepada masyarakat.

Ia bukan sahaja mencetuskan ketidakpercayaan terhadap doktor dan institusi perubatan, malah akan menjejaskan nama baik PERKESO yang umum mengetahui telah banyak membantu pekerja-pekerja di negara ini.

Untuk menangani masalah ini, kerajaan dan PERKESO perlu bertindak tegas, antaranya mengetatkan proses pengawasan dan audit terhadap tuntutan yang dibuat, khususnya yang melibatkan kecederaan atau penyakit yang sukar dibuktikan secara objektif.

Selain itu, penguatkuasaan undang-undang iaitu tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat termasuk pengamal perubatan bagi memberi mesej bahawa kes penipuan tidak akan ditoleransi.

Penggunaan teknologi seperti pangkalan data digital dan analisis boleh membantu dalam mengesan pola penipuan awal dan mencegah penipuan berulang.

Kesimpulannya, kes tuntutan palsu yang melibatkan doktor pakar ortopedik ini membuka mata banyak pihak tentang keperluan integriti dalam sektor perubatan dan keselamatan sosial.

*Syajaratulhuda Mohamad Rosli ialah wartawan Sinar Harian Biro Utara