Sampai bila anak-anak kita jadi 'tikus makmal'

Iklan
Kerajaan perlu membuat satu ketetapan dalam sistem pembelajaran agar ia tidak lagi diubah-ubah pada masa hadapan mengikut selera pemimpin semasa. Foto hiasan

MASA depan anak-anak merupakan sesuatu yang amat berharga. Mereka inilah yang akan meneruskan legasi pentadbiran negara pada masa akan datang.

Namun, sistem pendidikan di Malaysia dilihat sering berubah-ubah terutama apabila berlaku pertukaran kerajaan menyebabkan ada dalam kalangan ibu bapa dan pelajar yang keliru.

Iklan
Iklan

Antaranya yang masih menjadi polemik ialah tindakan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sejak 15 April 2021.

UPSR diperkenalkan di semua sekolah rendah pada 1988. Pada 1993 pula, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) sepenuhnya sebelum peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dilaksanakan pada 2016.

Iklan

Kedua-dua peperiksaan tersebut dimansuhkan pada 2021 akibat Covid-19 menerusi pengumuman Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin.

Kita sebenarnya memerlukan masa yang panjang untuk mengubah trend pemikiran murid dan guru menjadi kurang berorientasikan peperiksaan.

Iklan

Tetapi, belum pun nampak hasilnya, baru-baru ini terdapat pula cadangan untuk mengembalikan dua peperiksaan tersebut.

Benar, tanpa peperiksaan amatlah sukar untuk menilai pencapaian anak-anak, lebih-lebih lagi untuk kemasukan kelas dan perpindahan tingkat persekolahan.

Misalnya, kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), terdapat penurunan drastik pencapaian Ujian Kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM MRSM).

Justeru, cadangan mengembalikan dua peperiksaan itu boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan, bagaimanapun satu kajian holistik perlu dilakukan agar anak-anak kita tidak lagi dijadikan seumpama ‘tikus makmal’.

Cuma, jika dilihat kembali, proses pembelajaran dalam era ini juga bukan saja perlu menumpukan gred, sebaliknya menekankan pelbagai faktor lain termasuk pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kreativiti.

Malah, negara-negara seperti Singapura, Jepun, Korea Selatan dan United Kingdom sudah lama menghapuskan peperiksaan peringkat bawah, sebaliknya mengekalkan penilaian besar sahaja.

Oleh kerana itu, kerajaan perlu membuat satu ketetapan dalam sistem pembelajaran agar ia tidak lagi diubah-ubah pada masa hadapan mengikut selera pemimpin semasa.