Amalan sunah, moden cegah penyakit

Iklan
Gambar dari kiri: Muhammad Halim, Mohammad Imran dan Ab Aziz

SHAH ALAM - Kesihatan yang baik bukan sekadar bergantung kepada ubat tetapi memerlukan pendekatan holistik yang menggabungkan pemakanan seimbang dan amalan sunah untuk mencegah penyakit kronik serta meningkatkan kesejahteraan secara menyeluruh.

Topik berkenaan akan dibincangkan Pengasas dan Pengarah Perubatan Neo Medicare, Profesor Dr Ab Aziz Al-Safi pada program Wellness #QuranHour yang bertajuk 'Amalan Sunnah, Cegah Penyakit Kronik' di Masjid Darul Ehsan, SS 15, Subang Jaya dari jam 9.30 hingga 11 pagi Sabtu ini.

Iklan
Iklan

Beliau mengajak orang ramai untuk menyertai program tersebut yang memberi kesedaran dan membuka minda mengenai bagaimana gaya hidup sihat serta pemakanan betul mampu menjadi benteng kepada penyakit kronik.

"Penjagaan kesejahteraan kesihatan bermula dengan pengambilan makanan dan gaya hidup sihat mengikut cara Rasulullah SAW.

Iklan

"Beberapa alternatif pemakanan juga akan dikongsikan dalam program ini khususnya membantu mengawal kadar gula dalam darah serta mengekalkan keseimbangan nutrisi dalam badan

"Gabungan antara amalan sunah, perubatan moden dan perubatan integrasi mampu mempromosikan gaya hidup sihat secara holistik serta memainkan peranan penting dalam pencegahan penyakit kronik dengan pendekatan yang menyeluruh merangkumi penjagaan fizikal, mental, emosi dan rohani,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Sementara itu, Pengurus dan Imam 1 Masjid Darul Ehsan, Muhammad Halim Zamri berkata, pihak masjid mengalu-alukan penganjuran Wellness #QuranHour yang mampu mengimarahkan masjid serta memberi ilmu bermanfaat kepada jemaah.

"Peserta terutamanya golongan warga emas berpeluang mendalami kefahaman al-Quran dan membuka minda tentang kelebihan amalan sunah dalam menjaga kesejahteraan tubuh badan, selain mengeratkan hubungan kalangan peserta dengan al-Quran.

"Kita perlu kembali kepada gaya hidup sihat dan mensyukuri nikmat tubuh badan yang sihat.

"Ini sangat penting untuk meningkatkan kualiti ibadah dan kesejahteraan jemaah,” ujarnya.

Ditanya mengenai peranan masjid dalam kehidupan umat Islam, Imam Masjid Darul Ehsan, Mohammad Imran Nasohah berkata, ia menjadi tempat ibadah, ketenangan jiwa dan rahmat ALLAH SWT.

"Masjid bukan sekadar tempat solat dan pusat utama bagi pembangunan rohani dan kesejahteraan umat.

"Dalam Surah At-Taubah, ayat 108, ALLAH SWT mengingatkan bahawa masjid yang didirikan atas dasar takwa adalah tempat lebih layak untuk didirikan solat, kerana ia adalah tempat bagi mereka yang ingin membersihkan diri dari segi zahir, jiwa dan rohani.

"ALLAH SWT mencintai orang yang membersihkan diri dan masjid menjadi platform bagi umat Islam untuk mencapai ketenangan dan memperoleh rahmat-Nya.

"Sejarah menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW setelah tiba di Madinah, segera membina masjid seperti Masjid Quba yang menjadi simbol ketakwaan dan tempat untuk memupuk ukhuwah Islamiah,” katanya.

Tambah beliau, masjid boleh dijadikan rumah kedua bagi umat Islam di mana solat lima waktu dilakukan secara berjemaah dan rahmat ALLAH SWT sentiasa dicurahkan kepada mereka yang memakmurkan rumah-Nya.

"Umat Islam diseru agar sentiasa menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti spiritual, sosial dan ilmu bagi membina kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyertai Wellness #QuranHour boleh mendaftar sekarang di https://bit.ly/wellnessqh. Penyertaan adalah terbuka kepada semua dan kemasukan adalah percuma.