KLUANG - Golongan peniaga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mengharapkan isu berkaitan harga barang dan kawasan perniagaan diberi perhatian khusus oleh calon yang menang Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu 28 September ini.
Peniaga warung makanan di Taman Sri Lambak, Abdul Aziz b Osman, 61, berkata, kenaikan harga barang akan menyebabkan kesukaran baginya menentukan harga makanan dijual di warungnya.
"Kami sebagai peniaga harap jangan ada kenaikan harga terutamanya bagi barang-barang mentah, sebab susah nak berniaga.
"Lagi satu, memang susah nak dapat bekalan minyak masak di sini (Kluang).
"Harga bahan mentah seperti cili dan bawang naik mendadak, ayam pula ada masanya RM9 dan RM10 sekilogram pun ada dan sebab itulah kita perlukan satu kawalan harga untuk diselaraskan,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi peniaga kedai runcit, M Sarisah, 57, kenaikan harga bahan mentah dikesan berlaku hampir setiap bulan sejak kebelakangan ini.
"Sekarang, harga barang semuanya mahal, setiap bulan boleh katakan harga barang naik.
"Setiap kali barang sampai ke kedai, kita kena semak, baru letak harga.
"Jadi, kita harap wakil rakyat baharu nanti dapat membawa suara golongan peniaga ini untuk dicari jalan penyelesaian,” kongsinya.
Sementara itu bagi peniaga air, Nor Alam Syah Sukarso, 32, berharap agar calon yang menang dapat membantu bagi mewujudkan satu tapak perniagaan berpusat bagi golongan peniaga kecil.
Katanya, kewujudan tapak berkenaan dilihat dapat memberikan manfaat kepada peniaga kecil yang dapat dihimpunkan di satu kawasan dan memudahkan orang ramai mengunjunginya.
"Kami harap dengan adanya kewujudan tapak perniagaan ini akan membantu peniaga kecil seperti kami untuk meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya.
PRK DUN Mahkota berbaki lagi 10 hari lagi bagi menentukan calon yang bakal jadi wakil rakyat.