SHAH ALAM - Sekeping nota ringkas tertulis 'Love You Ustazah Zainun' bersama satu bekas kuih karipap yang dihadiahkan sebelum Zainun Zahari berpindah ke sekolah baharu pada 2017 lalu membuatkannya nekad mencari semula bekas anak murid bernama Putri Alyaa.
Menurut guru tersebut yang mesra dipanggil Ustazah Zainun, dia sentiasa terfikir mengenai keberadaan Putri sehingga sekarang kerana walaupun hadiahnya sebekas karipap, keikhlasan dan ketulusan anak gadis itu amat memikat hati.
"Semasa berhijrah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Datu Hashim, Putri hadiahkan sebekas karipap yang sangat sedap dengan linangan air mata. Dia agak manja dengan saya dulu.
"Saya simpan nota kasih daripada Putri dengan bekasnya sekali sampai sekarang. Dah kuning warna notanya, setiap kali terpandang tertanya-tanya juga di mana dia sekarang?
"Walaupun hanya sebekas karipap, mungkin ketulusan mengikat hati saya kepadanya. Percayalah bukan kebendaan menjadi nilai, tetapi keikhlasan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Kisah menyayat hati Ustazah Zainun tular di Facebook dan mendapat lebih dari 7,000 tanda suka, 2,000 komen serta 5,100 perkongsian, malah majoriti warganet juga membantu menjejaki Putri yang difahamkan sudah menginjak usia remaja.
Terbaharu, Ustazah Zainun pada Isnin memaklumkan, keberadaan Putri sudah dikenal pasti hasil bantuan pengguna Facebook yang berkongsi hantaran media sosialnya dan dikhabarkan bekas anak murid terbabit kini berusia 19 tahun serta bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Tambahnya, segala mesej kiriman pengguna Facebook sempat dibaca satu per satu bagi memastikan usahanya menjejaki Putri membuahkan hasil, meskipun tidak mempunyai sebarang gambar atau butiran lengkap.
"Saya sudah berhubung dengan Putri Alyaa tapi sayangnya peluang untuk bertemu mata belum tiba disebabkan kekangan tertentu di pihak saya. Alhamdulillah dia yang saya cari. Subhanallah hampir rasa mustahil nak jumpa sebenarnya.
"Terima kasih di atas keprihatinan dan perkongsian semua, hiba rasanya bila baca pengalaman pahit guru yang membawa parut dalam hati masing-masing.
"Saya ambil semua kisah ini untuk dijadikan pengajaran dan teladan dalam menyantuni murid-murid serta orang sekeliling. Maaf tak dapat kongsi sebarang gambar disebabkan kami belum sempat bertemu," ujarnya.