PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mengesahkan kapten The Gunners, Martin Odegaard diketepikan sementara waktu selepas mengalami kecederaan buku lali ketika bermain untuk Norway minggu lalu.
"Hasil imbasan menunjukkan dia mengalami sedikit kerosakan terutama pada salah satu ligamen di buku lali.
"Situasi terbaharu ini menyebabkan kami akan kehilangan khidmat dia buat sementara waktu," kata pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Perkembangan itu menyaksikan Odegaard terlepas perlawanan derbi London Utara menentang Tottenham Hotspur.
Sementara itu, Arteta, yang pasukannya berada di tangga kedua liga dua mata di belakang Manchester City, berharap kecederaan dialami Odegaard tidak mengambil masa panjang untuk pulih.
"Dia telah menjadi pemain utama, hanya terlepas beberapa perlawanan sepanjang tiga musim lalu, dan ketiadaan terlalu lama menjadi tamparan hebat.
"Dia kapten kami. Dia adalah antara pemain memberi impak besar dan terbaik dalam pasukan kami.
"Identiti kami sangat dikaitkan dengan cara dia bermain dan sikapnya. Ia adalah ujian besar bagi pasukan untuk melihat sejauh mana kami mampu menunjukkan wajah yang berbeza," kata Arteta.