Letupan kedengaran berhampiran lokasi pengebumian anggota Hizbullah di Beirut

Iklan
Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 100 lagi cedera dalam gelombang letupan terkini yang berkaitan dengan peranti elektronik di Lubnan. Foto AFP

BEIRUT - Satu letupan kedengaran pada Rabu berhampiran kawasan pengebumian anggota Hizbullah yang terbunuh dalam letupan alat kelui pada Selasa, di Dahieh sebuah kawasan kejiranan di selatan Beirut, ibu negara Lubnan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Wartawan Anadolu di tempat kejadian melaporkan mendengar bunyi letupan itu, manakala saksi mengatakan letupan berkenaan mungkin disebabkan oleh peranti yang terlibat dalam letupan pada Selasa atau alat kelui lain.

Iklan
Iklan

Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai insiden itu

Sementara itu, sumber tempatan turut mencadangkan bahawa radio mungkin meletup dalam insiden itu.

Iklan

Beberapa alat kelui, peranti telekomunikasi tanpa wayar, meletup pada Selasa di beberapa kawasan di Lubnan, termasuk ibu negara Beirut, yang menurut media tempatan adalah disebabkan oleh pencerobohan sistem itu oleh Israel.

Agensi perisikan Israel Mossad didakwa telah memasang bahan letupan di bateri alat kelui yang meletup pada Selasa di Lubnan, mengorbankan 12 orang dan mencederakan kira-kira 2,750 yang lain, termasuk 200 dalam keadaan kritikal, menurut saluran Sky News Arabia.

Iklan

Letupan alat kelui ini berlaku di tengah-tengah peningkatan ketegangan antara Israel dan Hizbullah dalam serangan rentas sempadan sejak bermulanya serangan berdarah Tel Aviv di Semenanjung Gaza, yang telah meragut lebih 41,200 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Oktober tahun lepas. - Bernama-Anadolu

_______________________________________________________________________________

Sekurang-kurangnya seorang maut, 100 cedera dalam letupan baharu di Lubnan

BEIRUT - Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan 100 lagi cedera dalam gelombang letupan terkini yang berkaitan dengan peranti elektronik di Lubnan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik Kementerian Kesihatan di Beirut, pada Rabu.

Saksi di kawasan itu memberitahu dpa bahawa letupan baharu kedengaran di pinggir selatan Beirut dan selatan Lubnan pada Rabu.

Sebahagian peranti elektronik yang masih tinggal selepas letupan. Foto AFP

Satu sumber dalaman militan pro-Iran, Hizbullah berkata, peranti tanpa wayar seperti walkie-talkie telah meletup, dan sumber keselamatan Lubnan mengesahkan bahawa walkie-talkie berkenaan meletup, sebahagiannya di dalam kereta dan ada yang dibawa oleh anggota Hizbullah menaiki motosikal.

Bunyi letupan itu berlaku pada waktu sama dengan tempoh berkabung Hizbullah bagi sebahagian daripada mereka yang terbunuh dalam letupan alat kelui pada Selasa, yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan kira-kira 2,800 yang lain.

"Serangan ini akan menerima hukuman balas, dan hukuman itu akan datang, Insya-ALLAH,” kata Pengerusi Majlis Eksekutif Hizbullah, Hashem Sefeiddine, semasa pengebumian.

Beliau berkata, Ketua Hizbullah Hassan Nasrallah akan menyampaikan pandangannya pada Khamis apabila"segala-galanya akan menjadi lebih jelas."

"Kami akan berdepan dengan corak baharu dan konfrontasi baharu dengan musuh,” kata Sefeiddine. - Bernama-DPA