Harga runtuh nanas di MAHA 2024

Iklan
MD2, Yankee dan Moris antara varian nanas yang dijual di Laman Agro Nanas.

SERDANG - Bagi peminat buah-buahan tempatan, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Laman Agro Nanas bertempat Laman Agro Nanas, Zon 6 MAEPS sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini.

Apa yang menariknya sebahagian besar daripada 16 varian nanas yang ditanam di negara ini dipamer dan dijual sama ada dalam bentuk buah, produk makanan dan juga kecantikan.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Linda Buang berkata, antara yang dijual termasuklah yang bermutu tinggi iaitu MD2, Yankee dan Moris.

Daun dan serat nanas boleh digunakan untuk dijadikan benang dan hasil kraf.


Menurutnya, pameran kali ini juga buat julung kali LPNM menampilkan inovasi nanas terbaharu itu Sarawak Gold.

Iklan

"Varian nanas yang ada ditanam di atas tanah seluas tiga ekar di sini termasuklah Josapine, Dinar, IPRS, MS16, Hijau dan Mas Merah.

"Pengunjung bukan sahaja boleh melihat dengan lebih dekat ladang nanas tetapi boleh merasai keenakkan nanas menerusi reruai dan gerai jualan nanas yang dibuka sepanjang MAHA berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Sudut bergambar khas untuk pengunjung mengabdikan kenangan.


Tambahnya lagi, dua biji nanas MD2 seberat 1.2 hingga 1.3 kilogram (kg) dijual pada harga serendah RM10 berbanding harga pasaran kira-kira RM6 sekilo.

"Harga runtuh MD2 ini hanya boleh diperolehi pada MAHA dan pengunjung bertuah juga berpeluang memenangi hadiah menerusi pertandingan kuiz dan permainan yang diadakan.

"LPNM juga membuka peluang tunjuk ajar kepada usahawan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai proses penanaman serta pemperolehan biji benih, baja dan sebagainya,” katanya.

Usahawan memasarkan produk makanan yang berasaskan nanas.


Menerusi pusat informasi juga pelbagai maklumat mengenai buah-buahan itu dipaparkan bagi memberi kemudahan kepada pengunjung mengenali dengan lebih dekat khasiat dan kegunaan buah itu.

"Selain buahnya yang boleh dimakan, daun dan serat nanas boleh digunakan untuk dijadikan benang dan hasil kraf.

"Pada ruang galeri kita menerangkan konsep sekali tanam tiga kali tuai iaitu tuaian pertama buah, kedua benih dan ketiga sisa,” kata Linda.

Pengunjung memperolehi informasi mengenai kaedah dan cara nanas ditanam.


Beliau berkata, sisa daun dan serat nanas boleh dijadikan baja dan makanan ternakan. Malah ianya juga boleh digunakan untuk menghasilkan benang dan kertas yang boleh menghasilkan kain songket, beg tangan, tali leher dan produk kraf yang lain.

Jelasnya, kesemua produk itu dihasilkan dengan tangan sepenuhnya dan harganya boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit.

Pulau Orang Asli

Bagi yang minat untuk bergambar, Laman Agro Nanas turut mewujudkan pulau buatan yang dinamakan sebagai Pulau Orang Asli.

"Di pulau ini pengunjung juga boleh membeli produk kraf dari daun nanas buatan Orang Asli dan boleh mencuba permainan sumpit yang menawarkan hadiah jika memperolehi mata yang tinggi,” katanya.

Pengunjung tidak melepaskan peluang menikmati pemandangan di Pulau Orang Asli.


Tambahnya, beberapa sudut lain juga diwujudkan untuk pengunjung mengabadikan gambar kenangan.

"Permainan interaktif menggunakan teknologi realiti virtual (VR) juga turut disediakan bagi memberi gambaran berkaitan proses tanaman nanas hinggalah ianya cukup matang untuk dituai.

"Pendedahan melalui VR ini diberikan agar pengunjung tahu bahawa untuk menghasilkan nanas berkualiti bukanlah mudah kerana perlu melalui proses dan pemantauan ketat,” katanya.

Permainan VR menguji kemahiran pemainnya.


Tambahnya, pengunjung boleh hadir ke Laman Agro Nanas pada 21 September ini jam 3 petang bagi menyaksikan Persembahan Fesyen Fabrik Serat Nanas.

Reaksi



"Anak-anak seronok melawat ke Laman Agro Nanas kerana terdapat permainan VR yang menguji minda dan kemahiran menyelesaikan tugasan yang diberikan.”

Nor Shafaah binti Mohd Nor,40, kakitangan awam



"Kali pertama cuba permainan sumpit dan berjaya memperolehi hadiah pengalaman baru bagi saya berkunjung ke Laman Agro Nanas.”

Nazrul Mohd Hirudin, 46, kakitangan awam

Laman Agro Nanas terletak di Zon 6, MAEPS.


Tarikan Laman Nanas

- Permainan realiti virtual (VR)

- Ladang Nanas

- Pusat Informasi

- Pusat Inovasi

- Pulau Orang Asli

- Jualan Usahawan

- Jualan Ladang

- Kuiz menawarkan hadiah