2,575 kes pokok tumbang dilaporkan sejak Januari hingga Julai - JBPM

Iklan
Keadaan cuaca yang semakin tidak menentu dengan hujan lebat dan ribut melanda tanpa diduga menyumbang kepada kejadian pokok tumbang - Gambar hiasan.

PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sebanyak 2,575 panggilan kecemasan melibatkan kejadian pokok tumbang di seluruh negara sejak Januari sehingga Julai lalu.

JBPM menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan, dalam tempoh itu, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi sebanyak 441 kes, seterusnya Perak (321) dan Sarawak (264).

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah kes tersebut, seramai lapan mangsa telah meninggal dunia, 27 orang mengalami pelbagai kecederaan, manakala 37 orang lagi berjaya diselamatkan," katanya.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 4,825 panggilan kecemasan melibatkan kejadian pokok tumbang di seluruh negara telah diterima pada tahun lalu.

Iklan

"Kejadian itu mengakibatkan 10 mangsa meninggal dunia, 47 orang cedera dan 77 mangsa berjaya diselamatkan," katanya.

JBPM berkata, pihaknya sentiasa cakna dan menguar-uarkan info keselamatan, memberi kesedaran dan pendidikan awam berkaitan langkah-langkah menghadapi musim panas dan hujan.

Iklan

"Pada masa kini negara berhadapan dengan cuaca yang semakin tidak menentu dengan hujan lebat dan ribut melanda tanpa diduga.

"Angin kencang yang berlaku meningkatkan risiko berlakunya kejadian pokok tumbang dan dahan patah," katanya.

Justeru, orang ramai terutama pengguna jalan raya perlu berwaspada ketika memandu, memandangkan kebanyakan kejadian pokok tumbang melibatkan pokok yang ditanam di tepi atau bahu jalan.

'Pemandu kenderaan perlu memberi perhatian kepada keadaan sekeliling terutama ketika hujan.

"Sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku, jangan panik, matikan enjin kenderaan dan mohon bantuan daripada orang terdekat serta menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan," katanya.