Malaysia sokong resolusi tamatkan pendudukan haram Israel di Palestin

Iklan
Wisma Putra

SHAH ALAM - Malaysia menyokong resolusi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bertajuk 'Pendapat Nasihat' Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin (OPT) serta Baitulmaqdis Timur.

Kementerian Luar Negeri (KLN) melalui Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, resolusi yang diterima pakai ketika Sesi Tergempar Khas Ke-10 UNGA pada 17 September 2024 dengan tujuan untuk melaksanakan keputusan ICJ bermula 19 Julai 2024 itu turut dipersetujui 123 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lain.

Iklan
Iklan

"Pada masa sama, ia menekankan tanggungjawab bersama dan obligasi undang-undang semua negara serta pertubuhan antarabangsa untuk menamatkan pendudukan haram Israel di Palestin dan menyeru keadilan untuk rakyat Palestin.

"Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan resolusi tersebut dengan kadar segera dan secara penuh demi hak rakyat Palestin.

Iklan

"Resolusi ICJ juga menentukan nasib, memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah serta mencapai pembangunan sosio-ekonomi mereka di sana," katanya pada Khamis.

Mengulas lanjut, Wisma Putra memaklumkan, resolusi itu mengesahkan pendirian Malaysia terhadap isu Palestin yang telah lama berlarutan.

Iklan

Ujarnya, Malaysia berpegang teguh kepada prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan persempadanan pra-1967 serta Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Sebelum ini media melaporkan, angka kematian warga Palestin akibat serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza meningkat kepada 41,206 orang.

Menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan berpangkalan Gaza, seramai 95,337 mangsa lagi disahkan tercedera sejak konflik Palestin-Israel meletus pada awal Oktober 2023.