KUALA SELANGOR - Pura-pura mahu membeli barang kemas sebelum melarikan rantai emas bernilai RM30,000.
Kejadian pada jam 12.25 tengah hari Isnin lalu itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai emas di pekan Kuala Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azharudin Tajuddin berkata, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pembantu kedai berkenaan.
"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan masih memburu suspek terlibat dalam kes ini mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sebelum ini tular video berdurasi satu minit 35 saat di media sosial mengenai gelagat seorang wanita berpurdah masuk ke dalam sebuah kedai emas.
Wanita itu sempat duduk di kerusi pelanggan dan dilayani seorang pekerja yang mengeluarkan barang kemas di rak pameran untuk dicuba suspek.
Wanita yang kononnya ingin mencuba memakai barang kemas itu kemudian bertindak melarikan diri menaiki sebuah kereta yang menunggu di luar premis.