Mangsa banjir di Kedah, Pulau Pinang, Perlis meningkat pagi ini

Iklan
Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Jitra menyelamatkan seorang mangsa banjir di Kampung Padang Luar. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa dipindahkan di tiga negeri terlibat banjir pagi ini meningkat kepada 4,223 orang yang ditempatkan di 42 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 3,560 yang berlindung 34 PPS malam tadi.

KEDAH menjadi negeri paling terkesan setakat ini menyaksikan pertambahan mangsa iaitu daripada 2,882 orang malam tadi kepada seramai 3,441 daripada 978 keluarga pagi ini, pertambahan 559.

Iklan
Iklan

Menurut laporan terkini dikeluarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tujuh daerah terjejas ialah Pasu (704 orang), Pendang (429 orang), Kulim (86 orang), Pokok Sena (773) orang), Kuala Muda (131 orang), Kota Setar (1,205 orang) dan Bandar Baharu (113 orang), kesemuanya ditempatkan di 28 PPS.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan jumlah sungai yang berada pada paras bahaya di negeri ini berkurangan kepada tujuh berbanding 10 sungai semalam.

Iklan

Tujuh sungai itu ialah Sungai Padang Terap di Kepala Batas; Sungai Bata di Kampung Bata; Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu; Sungai Anak Bukit di Taman Aman; Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar; Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang dan Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan turut meningkat kepada 152 daripada 49 keluarga berbanding 59 daripada 20 keluarga malam tadi.

Iklan

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata seramai 47 mangsa ditempatkan di PPS SK Dato Ahmad Musa, SK Kubang Gajah (42 orang), SK Arau (33 orang) dan SK Sena di Kangar (30 orang).

Beberapa kawasan di Arau dan Kangar turut dinaiki air pagi ini disebabkan hujan dan kejadian air pasang malam tadi.

Di PULAU PINANG, jumlah mangsa meningkat kepada 630 orang daripada 173 keluarga berbanding 619 mangsa pada malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, kesemua mereka di ditempatkan di 10 PPS di tiga daerah terjejas iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

SPU kekal menjadi menjadi daerah paling terkesan setakat ini melibatkan 443 mangsa diikuti SPT 125 mangsa manakala SPS pula seramai 62 mangsa. - Bernama