Ainol Amriz dilantik CEO baharu MPI berkuat kuasa 1 Oktober ini

Iklan
Dari kiri: Ainol Amriz, Mustapa

SHAH ALAM - Malaysian Press Institute (MPI) mengumumkan pelantikan Ainol Amriz Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Presidennya, Datuk Yong Soo Heong berkata, pelantikan Ainol dibuat bagi menggantikan Datuk Mustapa Omar yang bakal menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 30 September ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelantikan itu dipersetujui Ahli Majlis Pentadbir MPI setelah proses temuduga dan pertimbangan berdasarkan kepada pengalaman serta kepakaran dalam bidang media, komunikasi dan tenaga pengajar industri.

"Pelantikan ini berdasarkan pendekatan beliau yang segar dan pengetahuan mendalam dalam bidang kewartawanan baharu terutamanya di media sosial.

Iklan

"Kelebihan ini membolehkan MPI untuk kekal relevan sebagai penyedia latihan terunggul dalam landskap media yang sentiasa berubah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Soo Heong turut merakamkan penghargaan kepada Mustapa atas khidmat yang cemerlang, khususnya dalam mentransformasikan MPI ke arah lebih dinamik dan telus selama ini.

Iklan

Ujarnya, ketika Mustapa mengambil alih peranan sebagai ketua pegawai eksekutif pada Ogos tahun lalu, beliau berjaya memberi impak yang ketara dalam masa singkat.

Tambah beliau, pihak MPI menghormati keputusan Mustapa yang mahu melepaskan jawatan Mac lalu selepas mencapai sasarannya dan memohon beliau menangguhkannya sehingga institusi itu mendapat calon sesuai untuk dipanggil temuduga.

Sementara itu, Ainol Amriz berkata, tumpuan kini adalah merancakkan program latihan berdasarkan keperluan semasa selain merangsang minat penyertaan kepada Hadiah Kewartawanan Malaysia dalam kalangan pengamal media.

"Ini penting untuk menyaksikan MPI sebagai pentas latihan menyeluruh dengan fokus pemantapan bakat menjadikan ia relevan kepada semua pihak. Terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan MPI ini.

"Tentulah banyak cabarannya. Dengan teras kepercayaan semua pihak meliputi pengamal media, pihak industri dan akademik kepada MPI, usaha berterusan dan komitmen yang tinggi dari pengurusan, kita yakin MPI terus berada di pentas cemerlang,’’ katanya.

Sebelum ini, Ainol Amriz merupakan Penolong Pengarang UtusanTV dan Ahli Majlis Pentadbir MPI dan mempunyai kelulusan Sarjana Sains Sosial (Pengurusan Komunikasi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) Fakulti Sastera dan Sains Sosial di Universiti Malaya (UM).

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam kewartawanan, media dan komunikasi serta pernah berkhidmat di Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) sebagai Pengurus Jabatan Pengarang dan Pengarah Eksekutif Sibermedia Sdn Bhd, anak syarikat UMMB iaitu syarikat penyedia latihan.

Selain itu, Ainol Amriz merupakan jurulatih berakreditasi dari Human Resources Development Corporation (HRD Corp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia sejak 2018 dan aktif mengajar di seluruh negara dalam skop media, komunikasi dan kandungan digital.

Beliau juga seorang ahli panel bagi Kajian Semula Standard Program: Pengajian Media dan Komunikasi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2023 hingga 2025 dan pernah menjadi Ahli Majlis Pentadbir pada tahun 2016 hingga 2018.

Pada masa sama, Ainol Amriz turut terlibat dalam pendidikan sebagai Pensyarah Sambilan beberapa semester di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di UKM.