TAIPING - Wanita hamil tujuh bulan antara 11 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping pada Khamis atas pertuduhan menawarkan pekerjaan tidak wujud, bulan lalu.
Kesemua tertuduh terdiri daripada empat wanita dan tujuh lelaki yang berperanan sebagai operator itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, wanita hamil, Ng Kai Yee, 22, bersama Toh Khai Shean, 24; Lee Kong Pa, 22; dan Yeoh Li Kee, 26, didakwa melakukan pakat jahat jenayah serta bersetuju antara satu sama lain untuk suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu cuba menipu mangsa dengan tawaran pekerjaan tidak wujud.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Desa Tekkah Sentosa dalam daerah Larut Matang dan Selama jam lebih kurang 1.30 tengah hari pada 14 Ogos 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan (Akta 574), jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tujuh lagi individu terdiri daripada Chuah Cher Seng, 25; Lam Yong Jun, 24; Ng Zi Cong, 25; Yeong Yong Long, 24; Wong Li Jia, 23; Leong Ying Zhi, 21, dan Leyu Yee Ying, 24.
Kesemua tertuduh turut didakwa secara bersama melakukan kesalahan tersebut pada tarikh, masa dan tempat sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin menawarkan jaminan RM25,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport perlu diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Peguam, Privesh Paul Singh Sucha Singh yang mewakili Kai Yee memohon jaminan paling minimum RM2,000 atas alasan tertuduh tidak bekerja dan keadaannya yang sedang mengandung tujuh bulan.
Sementara itu, Peguam, Tan Kian Peng mewakili 10 tertuduh lain meminta mahkamah mempertimbangkan jaminan munasabah memandangkan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap selain perlu menanggung ibu bapa.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti diminta pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 29 Oktober dan 8 November depan untuk serahan dokumen.
Pada 16 Ogos lalu, polis mendedahkan penahan 11 individu tersebut berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 130 kes di seluruh negara.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak awal Ogos itu menyasarkan mangsa dalam kalangan warga tempatan dan Singapura dengan menjalankan aktiviti penipuan melalui laman media sosial.
Sindiket berkenaan menjadikan rumah sewa sebagai 'calling center' dan meminta mangsa membeli barang sebelum mempromosikan kepada pembeli lain dengan menjanjikan komisen antara tiga hingga 13 peratus dalam masa yang singkat.