KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 11 kereta mewah kerana disimpan melebihi tempoh ditetapkan di gudang penyimpanan kenderaan di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat di sini.
Penolong Ketua Pengarah JKDM, Norlela Ismail berkata, rampasan dilakukan menerusi Ops Longkai 2024 pada Julai dan Ogos lalu oleh pihak JKDM Zon Tengah Unit II Selangor.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dibuat menemukan 11 unit kenderaan import pelbagai jenis yang tidak mempunyai lesen import.
"Anggaran nilai dan duti bagi kesemua kenderaan itu berjumlah RM3.69 juta.
"Gudang ini telah menyimpan kenderaan tanpa permit import melebihi tempoh simpanan dibenarkan iaitu tidak melebihi 48 bulan atau empat tahun.
"Untuk itu, JKDM telah merampas kesemua kenderaan mewah terlibat dan ia akan dibuka untuk lelongan selepas semua urusan melibatkan pihak berkuasa selesai," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, Norlela berkata, pihaknya turut merampas dua buah kontena menyimpan 27,000 liter minuman keras dengan anggaran nilai dan cukai berjumlah RM1.15 juta di Zon Bebas, Pelabuhan Utara di sini pada 2 September lalu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati minuman keras itu tidak mempunyai permit import.
Kata beliau, modus operandi yang digunakan adalah membuat ikrar barangan dirampas sebagai 'Mirror Cabinet and Accessories' di dalam manifes bagi mengelak dikesan JKDM.
Dalam pada itu, Norlela berkata, JKDM turut merampas sebuah kontena yang menyimpan 13,100 kilogram cecair nikotin dengan anggaran nilai berjumlah RM1.3 juta.
Menurutnya, rampasan itu dibuat di Zon Bebas, Pelabuhan Utara di sini pada 4 September lalu.
Jelasnya, pemeriksaan dilakukan mendapati barangan tersebut tidak mempunyai permit import.
Sementara itu, katanya, JKDM berjaya merampas empat unit bungkusan yang disyaki mengandungi dadah jenis ganja seberat 1,767 gram dengan anggaran nilai RM13,955.
Menurut beliau, rampasan dibuat di Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16, 22 dan 29 Ogos lalu.
Katanya, kesemua bungkusan itu diikrar sebagai Chinese Tea, Thai Tea, Preivm Thai Tea serta souvenir bagi mengelak daripada dikesan JKDM.