Imigresen teliti, laksana reformasi proses kerja banteras 'counter setting'

Iklan
Zakaria. Laporan Sinar Harian

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen (JIM) akan melaksanakan reformasi proses kerja pegawai serta anggotanya susulan 11 kelemahan didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket 'counter setting'.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, langkah penambahbaikan itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat termasuk penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh dengan mengambil kira teguran dan cadangan diberikan.

Iklan
Iklan

"JIM mengambil maklum berhubung 11 kelemahan utama yang membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi 'counter setting'," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, SPRM menyenaraikan 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan Jabatan Imigresen sehingga membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi 'counter setting'.

Iklan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, masalah utama disebabkan kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai imigresen mudah didekati oleh ejen sindiket.

Katanya, kelemahan lain ialah pusingan tempat kerja bagi pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 tidak sistematik.

Iklan

SPRM turut mencadangkan kepada JIM supaya pegawai yang bertugas di KLIA Terminal 1 dan 2 termasuk penyelia tidak dibolehkan membawa telefon bimbit ketika bertugas.

Mengulas penahanan 49 pegawai imigresen kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing di pintu masuk negara, Zakaria berkata, JIM tidak akan berkompromi terhadap salah laku seumpama itu dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia serta SPRM.

"JIM sekali lagi menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat atau kedudukan yang menyalahgunakan kuasa untuk tujuan kepentingan peribadi dan melanggar undang-undang negara," katanya.

Beliau berkata, ketegasan itu bertujuan menjamin keselamatan pintu masuk negara agar sentiasa terpelihara.