Rempuh Jambatan Baltimore: AS tuntut RM437 juta dari pemilik kapal Singapura

Iklan
Jabatan Kehakiman AS memfailkan tuntutan sivil AS$103 juta (RM437 juta) terhadap dua syarikat Singapura yang memiliki dan mengendalikan kapal kontena kerana merempuh Jambatan Francis Scott Key di Baltimore, pada Mac lalu. - Gambar fail

BALTIMORE - Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) memfailkan tuntutan sivil AS$103 juta (RM437 juta) terhadap dua syarikat Singapura yang memiliki dan mengendalikan kapal kontena kerana merempuh Jambatan Francis Scott Key di Baltimore sehingga mengorbankan enam nyawa dan melumpuhkan saluran pengangkutan utama untuk Timur Laut Amerika Syarikat, Mac lalu.

Jabatan itu sedang berusaha untuk mendapatkan semula ganti rugi daripada syarikat Grace Ocean Private Limited dan Synergy Marine Private Limited yang dibelanjakan kerajaan AS dalam menangani bencana serta membersihkan bangkai kapal dan serpihan jambatan dari Pelabuhan Baltimore supaya laluan air dapat dibuka semula, pada Jun.

Iklan
Iklan

Ketua Bahagian Sivil Jabatan Kehakiman, Brian Boynton berkata, ia merupakan malapetaka yang boleh dielakkan sepenuhnya dan disebabkan satu siri kesilapan oleh pemilik dan pengendali kapal. Jabatan itu juga sedang menuntut jumlah yang tidak ditentukan dalam ganti rugi punitif, menuduh kedua-dua syarikat itu sebagai cuai.

Pada Mei lalu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS berkata, kapal itu kehilangan kuasa elektrik beberapa kali sebelum ia merempuh jambatan di Sungai Patapsco pada awal pagi 26 mac.

Iklan

Pada April, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) membuka siasatan jenayah ke atas bencana itu.

Tuntutan Jabatan Kehakiman dibawa sebagai sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dimulakan oleh Grace Ocean dan Synergy untuk mengehadkan liabiliti mereka untuk nahas itu kepada AS$44 juta (RM186.7 juta).

Iklan

Jumlah itu dibantah Pegawai Jabatan Kehakiman kerana disifatkan tidak mencukupi.

Syarikat pembinaan Brawner Builder, yang mengaji kesemua enam pekerja yang maut dalam runtuhan ketika bekerja di jambatan juga memfailkan tuntutan sivil terhadap Grace Ocean dan Synergy, pada Rrabu.

Tuntutan itu mahu jumlah ganti rugi yang tidak ditentukan bagi kematian pekerjanya dan kehilangan kenderaan dan peralatan pembinaan di jambatan itu.

Kapal itu merempuh tiang sokongan, menyebabkan jambatan itu runtuh ke dalam sungai.

Pegawai Jabatan Kehakiman, Benjamin Mizer memberitahu, pemilik dan pengendali kapal itu menyedari isu lama dengan sistem elektrik dan mekanikal kapal itu dan gagal membetulkannya"kerana kecuaian, salah urus dan keinginan untuk mengurangkan kos." - Awani