Nahas 10 kenderaan: Pemandu lori positif urin direman dua hari

Iklan
Pemandu lori positif urin direman dua hari dalam nahas 10 kenderaan pada Rabu

SEREMBAN - Pemandu lori yang dilaporkan menjadi punca kemalangan membabitkan 10 kenderaan dan turut mengakibatkan seorang maut berhampiran Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di Jalan Seremban-Tampin dekat sini direman dua hari bermula pada Khamis.

Permohonan reman terhadap lelaki berusia 38 tahun itu dibuat di hadapan Majistret, Marlissa Mohd Fahmy.

Iklan
Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil ujian urin ke atas suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis methaphetamine.

Menurutnya, siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Iklan

Sementara itu, mengenai kemalangan berkenaan, beliau berkata, kejadian pada jam 1.25 petang itu melibatkan lapan kereta dan dua lori muatan batu gunung.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa kenderaan berkenaan bergerak perlahan, pada masa sama datang sebuah lori jenis Hino muatan batu gunung dipandu suspek dari arah Tampin ke Seremban dipercayai telah hilang kawalan.

Iklan

"Berikutan itu lori telah terbabas dan melanggar kenderaan yang berada di hadapannya sehingga menyebabkan kenderaan lain yang berada di situ melanggar satu sama lain," katanya.

Beliau berkata, susulan itu seorang lelaki berusia 31 tahun iaitu pemandu kereta jenis Proton Iswara disahkan maut di lokasi kejadian akibat tersepit dalam kenderaannya kerana dihempap lori terbabit.

Selain itu katanya, seorang wanita berusia 48 tahun parah iaitu patah tangan kanan manakala lain-lain mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.