Jangkaan ribut berterusan, orang ramai diminta rujuk ramalan cuaca

Iklan
Ombak setinggi 2.8 meter yang dilaporkan berlaku pada tengah hari Rabu di Kota Marina, Kuala Kedah.

ALOR SETAR - Orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada ramalan cuaca semasa sekiranya ingin melakukan sebarang aktiviti di sekitar pantai dan laut.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, komuniti maritim terutamanya nelayan bot kecil, pengusaha bot pelancong dan penumpang hendaklah mengambil berat mengenai keadaan laut dan cuaca bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda terjamin.

Noor Azreyanti

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia susulan jangkaan ribut berterusan akan melanda kawasan perairan negeri di utara sepanjang minggu ini.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora amat bahaya kepada semua aktiviti rekreasi pantai dan di laut.

Iklan

"Peringatan ini diberikan bagi mengelak berlakunya insiden tidak diingini di kawasan perairan dan laut,” katanya di sini pada Khamis.

Noor Azreyanti turut mengingatkan pihak yang ingin melaksanakan aktiviti di laut agar mengutamakan aspek keselamatan.

Iklan

"Pastikan aspek keselamatan diri diberikan keutamaan dengan memakai jaket keselamatan, membawa bersama Personal Locator Beacon (PLB) bagi memudahkan dan mempercepatkan bantuan carilamat di laut sekiranya berlaku kecemasan, selain pastikan bot yang digunakan dalam keadaan baik,” katanya.

Menurutnya lagi, pengusaha bot pelancong juga dinasihatkan supaya mematuhi semua peraturan dan undang-undang di laut yang ditetapkan, antaranya mematuhi kapasiti maksimum penumpang dan pemakaian serta penyediaan jaket keselamatan yang mencukupi.

Noor Azreyanti turut meminta orang ramai untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 999 atau hubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.