Pembangkang boleh kemuka draf MoU baharu - Fadillah

Iklan
Fadillah Foto Bernama

KUCHING - Pihak pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan untuk Ahli Parlimen Pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata draf sedia ada boleh menjadi asas kepada perbincangan.

Iklan
Iklan

Beliau turut menjelaskan sehingga hari ini, pihaknya belum lagi dihubungi pihak pembangkang bagi meneruskan perbincangan berkaitan MoU itu.

"Draf MoU sedia ada adalah asas untuk kita (meneruskan) perbincangan. Jika (pembangkang mahu MoU baharu) mereka perlu kemukakan maklum balas mereka... tapi sebelum ini mereka ada buat kenyataan untuk menolak, bila dah tolak kita terima (pendirian mereka),” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian 'International Social Security Management Conference 2024' di sini pada Khamis.

Pada 16 September lepas, Kerajaan Perpaduan telah mendedahkan dua draf MoU yang dirangka bersama sebagai bukti ketelusan dalam perundingan mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen Pembangkang.

Iklan

Fadillah berkata, keputusan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan MoU berkenaan.

Semalam, Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata Kerajaan Perpaduan diminta menyediakan draf MoU baharu selain menubuhkan jawatankuasa khusus bagi membincangkan mengenai MoU antara kerajaan dan pembangkang. - Bernama