Perdagangan naik kepada RM252.65 bilion pada Ogos, terpantas dalam 22 bulan

Iklan
Perdagangan Malaysia meningkat 18.6 peratus tahun ke tahun kepada RM252.65 bilion, kadar terpantas dalam tempoh 22 bulan. Gambar hiasan

PERDAGANGAN Malaysia mengekalkan prestasi memberangsangkan, meningkat 18.6 peratus tahun ke tahun kepada RM252.65 bilion, kadar terpantas dalam tempoh 22 bulan, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurutnya, eksport mengekalkan momentum pertumbuhan bagi lima bulan berturut-turut, naik 12.1 peratus kepada RM129.16 bilion manakala import mengembang 26.2 peratus kepada RM123.49 bilion, justeru menghasilkan lebihan dagangan ke-52 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Iklan
Iklan

"Pertumbuhan eksport pada Ogos telah dipacu terutama oleh peningkatan permintaan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut MITI, bagi tempoh lapan bulan pertama 2024, perdagangan mencatatkan jumlah tertinggi bagi tempoh Januari hingga Ogos setakat ini, meningkat 10.9 peratus kepada RM1.905 trilion tahun ke tahun.

Iklan

Eksport pula naik enam peratus kepada RM991.36 bilion dan import mengembang sebanyak 16.8 peratus kepada RM913.18 bilion, menghasilkan lebihan dagangan bernilai RM78.17 bilion, katanya.

Dari segi pasaran, MITI berkata eksport kepada rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan Taiwan merekodkan pertumbuhan.

Iklan

Eksport ke AS melonjak kepada nilai tertinggi baharu, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan E&E khasnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik.

MITI berkata, Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) mengunjurkan jualan semikonduktor global akan meningkat sebanyak 16 peratus tahun ini disokong oleh prestasi pasaran pengkomputeran pengguna akhir yang lebih kukuh.

Menurut kenyataan itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global sebanyak 3.2 peratus tahun ini dan pada masa sama menekankan mengenai risiko inflasi yang mungkin berlaku dan ketegangan perdagangan yang berterusan

"Bagi Malaysia, IMF menganggarkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.4 peratus pada 2024, menggambarkan prospek ekonomi yang stabil.

"Ini dilihat konsisten dengan pertumbuhan KDNK negara sebanyak 5.1 peratus pada separuh pertama 2024 yang melebihi pertumbuhan 4.1 peratus pada separuh pertama 2023,” katanya.

MITI berkata, di sebalik perkembangan positif ini, kementerian itu dan agensinya akan terus memberikan perhatian untuk menangani sebarang cabaran atau gangguan global yang berkemungkinan berlaku agar Malaysia dapat mengekalkan momentum ekonomi. - Bernama