Air pasang besar, ombak jejas aktiviti pelancongan

Iklan
Jeti pelancong turut rosak akibat dibadai ombak besar di Bagan Sungai Burung. Gambar kanan: Pelantar milik Weng Kiang yang rosak akibat dibadai ombak besar dalam kejadian pada Rabu di Bagan Sungai Burung di sini.

BAGAN DATUK - Fenomena air pasang besar berserta ombak besar sejak Rabu menjejaskan aktiviti penduduk serta sektor pelancongan di kawasan Bagan Sungai Burung dekat sini.

Pengurus Nine Island Agency Sdn Bhd, Khor Weng Kiang berkata, pelantar miliknya antara yang terjejas teruk akibat dibadai ombak besar dalam kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bukan itu sahaja, jeti utama untuk menurunkan pelancong juga tidak boleh digunakan kerana runtuh akibat dibadai ombak besar itu.

"Air pasang besar memang biasa berlaku di kawasan ini tapi kali ini agak teruk sebab sekali dengan ombak besar. Jadi kayu-kayu pelantar tercabut dan rosak, begitu juga dengan jeti untuk pelancong naik bot ke 'sky mirror' yang turut rosak.

Iklan

"Untuk keselamatan, saya tutup sementara kawasan ini kepada orang awam, namun pelancong yang sudah buat tempahan kita benarkan masuk ke kawasan yang tidak terjejas dengan pemantauan pihak kami," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bagan Sungai Burung dekat sini pada Khamis.

Weng Kiang berkata, pusat peranginan itu diusahakan sejak tahun 2014 lagi dengan menawarkan perkhidmatan kepada pelancong untuk ke Pulau Sembilan, Pantai Cermin, blue tears dan sebagainya.

Tinjauan di Bagan Sungai Tiang mendapati jalan ban turut mengalami kerosakan akibat dibadai ombak susulan fenomena air pasang besar yang berlaku.

Iklan

Menurutnya, ketika musim cuti sekolah ini, kira-kira 4,000 pelancong datang ke tempatnya untuk ke lokasi tumpuan tersebut dan hampir 40 peratus daripada Singapura.

Jelasnya, kejadian air pasang besar dan ombak kuat itu sedikit sebanyak menjejaskan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.

"Setakat ini kita beroperasi macam biasa untuk pelancong pergi ke 'sky mirror' atau melihat 'blue tears' pada waktu malam menggunakan jeti lain. Tetapi bergantung keadaan ombak. Kalau ombak besar kita batalkan semua aktiviti.

"Semua kerosakan ini mengambil masa tiga hingga empat minggu untuk dibaik pulih, namun kita masih tak boleh mulakan sehinggalah fenomena air pasang besar dan ombak besar berakhir," katanya.

Dia menganggarkan kos untuk membaik pulih melibatkan kos yang besar dan menjangkakan ratusan ribu ringgit namun jumlah sebenar kerugian disebabkan bencana itu tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun, Weng Kiang bersyukur kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa sama ada pelancong atau pekerja di pelantar berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, penduduk setempat juga terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong San, Sungai Burung kerana bimbang air pasang besar masuk ke kawasan rumah mereka.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Bagan Sungai Tiang di sini pula mendapati beberapa rumah penduduk dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar tersebut.

Antara rumah yang di naiki air akibat fenomena air pasang besar di Bagan Sungai Tiang.

Selain itu, jalan ban di kawasan berkenaan juga mengalami kerosakan akibat dibadai ombak.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan sebuah restoran dan pelantar pendaratan ikan rosak dibadai ombak dalam kejadian air pasang besar di Bagan Sungai Burung di sini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, maklumat kejadian itu diterima pada jam 9.45 pagi hasil pemantauan dilakukan anggota.

Menurutnya, daripada laporan diterima, berlaku hujan lebat berterusan melebihi dua jam di lokasi berkenaan sejak jam 4 pagi.