15 pekerja warga asing ditahan dalam Ops Sapu

Iklan
Antara pekerja warga asing yang diperiksa dalam Ops Sapu pada Rabu.

BATU KAWAN - Seramai 15 pekerja kontraktor warga Myanmar ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dalam serbuan di lapan buah rumah di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat dekat sini pada Rabu.

Dalam serbuan Ops Sapu itu, seramai 75 orang penghuni warga asing diperiksa dan mendapati 15 daripadanya didapati tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas bekerja yang sah.

Iklan
Iklan

Mereka terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar yang berumur di antara 22 hingga 46 tahun.

JIM Pulau Pinang menerusi kenyataan di laman Facebook memaklumkan, serbuan dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk kawasan terbabit mengenai warga asing yang menghuni kawasan kediaman yang dijadikan asrama pekerja asing.

Iklan

"Rumah-rumah kediaman dua tingkat itu dipercayai disewa oleh majikan untuk dijadikan asrama pekerja.

"Berdasarkan akuan dan pakaian yang ditemui, 15 warga asing ini bekerja dengan kontraktor syarikat pembersihan yang dilantik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai pemotong rumput," kata kenyataan itu pada Khamis.

Iklan

Bagaimanapun, ketika diminta mengemukakan dokumen, kesemua mereka gagal berbuat demikian dan tidak dapat memberikan sebarang keterangan mengenai keberadaan mereka di Malaysia.

Berikutan itu, kesemua mereka telah ditangkap kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki Pas yang sah serta untuk siasatan lanjut jabatan.

Sementara itu, siasatan ke atas majikan serta pemilik kediaman juga akan dilakukan dan akan dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sekiranya terdapat elemen kesalahan.