Pokok tua, kerajaan tidak guna kaedah tebang semata-mata - Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid (kiri) melawat reruai pameran selepas merasmikan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 dengan Tema 'Menelusuri Sejarah: Membina Perpaduan Negara Bangsa', pada Khamis.

SHAH ALAM - Kerajaan akan melihat usaha jangka panjang bagi penjagaan pokok khususnya yang telah tua tanpa menggunakan kaedah tebang semata-mata, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, terdapat koordinasi antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meneliti kaedah untuk menjaga dan mempertahankan pokok yang telah tua serta mempunyai nilai tinggi.

Iklan
Iklan

"Namun, dari segi praktikalnya, kita harus melihat bagaimana usaha jangka masa panjang dapat dibuat agar (pokok-pokok itu) tidak ditebang.

"Ia harus menggunakan kaedah tertentu supaya pokok itu terus ada dan tidak mendatangkan mudarat kepada masyarakat sekitar ataupun yang melalui kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024"Menelusuri Sejarah: Membina Perpaduan Negara Bangsa" di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai insiden pokok tumbang bersama bongkah konkrit di George Town, Pulau Pinang semalam yang menghempap kereta dinaiki seorang lelaki dan anak perempuannya sehingga menyebabkan kedua-dua pelancong dari China itu meninggal dunia.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 2,575 panggilan kecemasan melibatkan kejadian pokok tumbang diterima bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu dipertingkatkan dalam semua aspek penjagaan kanak-kanak termasuk dalam isu yang dikaitkan dengan GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) agar pembentukan sahsiah dan peribadi tidak diketepikan supaya masa depan mereka dapat dibina semula.

Ditanya sama ada kerajaan akan meneliti garis panduan penubuhan rumah amal, Ahmad Zahid berkata, Kabinet telah membincangkan perkara berkenaan dan melihat aspek berbeza dalam pembahagian tugasan mengikut skop agensi dan jabatan.

"Kita serahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk lihat aspek jenayah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta jabatan agama negeri pula dari segi akidah atau pegangan. Kebajikan di bawah JKM dan aspek ini penting untuk memberikan kesinambungan apa yang mereka (kanak-kanak) lalui.

"Pada pendapat saya, Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pendidikan Tinggi boleh melihat soal pelajaran (kanak-kanak) terutama dalam bidang akademik atau Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) agar mereka mempunyai masa depan sendiri serta tidak terikat dengan kejadian yang dilalui dalam organisasi berkenaan," katanya.

Pada 11 Julai lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan serta menyelamatkan 402 individu masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur lingkungan setahun hingga 17 tahun. - Bernama