PETALING JAYA - Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), pada Khamis, memperkenalkan Katalog Harta Intelek sebagai sumber rujukan utama kepada usahawan.
Dalam satu kenyataan media pada Khamis, MyIPO menjelaskan, katalog berkenaan bagi memudahkan para usahawan untuk memahami proses dan langkah-langkah pendaftaran harta intelek di Malaysia, termasuk paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, hak cipta dan petunjuk geografi.
Penerbitan katalog itu adalah sebahagian daripada inisiatif MyIPO untuk memudahkan akses kepada maklumat yang diperlukan bagi melindungi harta intelek termasuk tips praktikal bagi membantu usahawan mengelakkan kesilapan yang dilakukan dalam proses pendaftaran.
"Melalui katalog ini, usahawan dapat memastikan bahawa inovasi dan hasil kreativiti mereka dilindungi, sekaligus memberi mereka kelebihan daya saing di pasaran.
"Katalog ini dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti usahawan, terutamanya
yang sering berdepan dengan cabaran dalam mendaftarkan harta intelek,” kata kenyataan itu. Dengan maklumat yang jelas dan praktikal, katalog berkenaan akan menjadi panduan utama untuk
membantu usahawan meminimumkan risiko pelanggaran harta intelek dan meningkatkan potensi perlindungan terhadap hasil karya dan inovasi mereka.
Majlis peluncurannya itu disempurnakan Ketua Pengarah MyIPO, Kamal Kormin pada program Innopreneur: IP Solution for Entrepreneurs, program keusahawanan dengan kerjasama Tekun Nasional dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).
Hadir sama Penolong Ketua Pengarah (Perancangan, Pembangunan Perniagaan & Pemasaran) MyIPO, Tuan Sh. Arifin Sh. Mohd.