'Saya mohon maaf terhadap apa berlaku' - Bapa tertuduh

Iklan
Laporan Sinar Harian.

SEREMBAN -"Saya mohon maaf terhadap apa yang berlaku dan saya sendiri tak mahu ia berlaku dan dijatuhkan pertuduhan."

Demikian rayuan jaminan dikemukakan bapa kepada Muhammad Khunnais Fathie Khabil, 20, yang berdepan pertuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di tempat mengajarnya di sebuah madrasah di Kuala Pilah yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Iklan
Iklan

Lelaki itu berkata, dengan keadaan ekonomi sekarang selain dirinya yang sudah tidak lagi bekerja, dia tidak mampu membayar kos jaminan dikenakan terhadap anaknya.

"Saya mohon supaya kos itu dapat diminimumkan sebaiknya bagi kami yang tiada pendapatan.

Iklan

"Sukar untuk saya dapatkan wang sebanyak itu. Mohon dikurangkan seminimunnya. Anak saya sebagai pengajar selain menjaga anak-anak di situ (madrasah)," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memberitahu mahkamah yang beliau tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, RM30,000 dicadangkan bagi setiap pertuduhan.

Iklan

Muhammad Khunnais Fathie berdepan enam pertuduhan melakukan suatu amang seksual fizikal dengan melakukan sentuhan fizikal secara seksual terhadap dua kanak-kanak lelaki yang berusia 10 tahun dan 11 tahun pada tahun 2023.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dihadapi selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Selain itu, turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 ialah dua lagi tenaga pengajar iaitu Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22.

Mereka masing-masing berdepan lima serta tiga pertuduhan turut mengaku tidak bersalah atas kesalahan dilakukan antara tahun 2022 hingga 2023 di sebuah madrasah di Kuala Pilah.

Muhammad Habib Noh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan itu, dia didapati melakukan suatu amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 10 tahun dengan membuatkan kanak-kanak itu melakukan sentuhan fizikal secara seksual dengan cara memegang kemaluan tertuduh.

Bapa kepada Muhammad Habib Noh merayu anaknya diberi jaminan rendah kerana dia masih budak, manakala abang kepada Ahmad Nadzful Izham pula memohon jaminan dikurangkan kerana ibu bapa mereka tidak sihat.

Mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa.

Kesemua tertuduh turut diminta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan boleh dihubungi pada bila-bila masa.

Sebutan semula kes 30 Oktober depan.