[VIDEO] Sabah pantau rapat GISBH

Iklan

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah sedang meneliti sama ada GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) adalah organisasi atau fahaman yang sama diharamkan di negeri ini iaitu kumpulan Al-Arqam melalui syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Pejabat Mufti Sabah sebelum ini telah mewartakan ajaran yang salah, menyeleweng atau sesat di negeri ini termasuk syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd tersebut.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini disebut sebagai Rufaqa', tetapi adakah ia sama dengan organisasi ini atau sebaliknya. Jadi kita tidak boleh putuskan ia adalah Rufaqa'.

"Jadi kita akan buat keputusan dan mesyuarat khas untuk ini oleh jawatankuasa fatwa, sekiranya nilainya sama, unsurnya sama kita akan putuskan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Kimanis (KTC) Petronas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pemantauan terhadap GISBH di Sabah ketika ini.

"Kita akan dapatkan kajian dan pemeriksaan dengan laporan daripada pihak berkenaan, kita ada Jawatankuasa Penyelarasan Hal Ehwal Islam Sabah (JaPHEIS).

Iklan

"Jawatankuasa ini terdiri daripada saya sebagai pengerusinya, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan beberapa agensi lain yang akan berbincang secara berkala berhubung isu hal ehwal agama Islam di Sabah termasuk halal, bidang akidah dan beberapa isu lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa memantau rapat mengenai isu berkenaan menerusi jawatankuasa tersebut dari sudut akidah dan sebagainya.

Sementara itu, ditanya mengenai adakah kerajaan negeri akan mencadangkan pusat atau rumah kebajikan wajib mendaftar dengan Jheains, beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke peringkat jawatankuasa nanti untuk dibincangkan.

"Memang kita ada laksanakan pendaftaran melalui Jheains untuk institusi pengajian termasuk sekolah agama rakyat termasuk tahfiz perlu didaftarkan kepada Muis bagi memudahkan proses kita memberi bantuan kepada mereka selain pemantauan dari sudut kokurikulum dan prasana.

"Itu antara kriteria yang sangat penting, selain itu kita juga akan berikan kesedaran kepada semua pengasas institusi berkenaan termasuk tahfiz dan sebagainya supaya mereka didaftarkan.

"Namun mana-mana yang dilaksanakan bertentangan dengan peraturan kerajaan, kita akan ambil tindakan," tegasnya.