Pesawah terjejas sediakan bukti untuk proses bantuan - LPP

Iklan
Nor Rahila (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan pek makanan kepada mangsa banjir di PPS Lubuk Batu.

KUBANG PASU - Pesawah yang terjejas akibat banjir perlu menyediakan bukti gambar sawah mereka yang ditenggelami air bagi memudahkan proses permohonan bantuan akibat bencana.

Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Kedah, Nor Rahila Yusof berkata, ia merupakan antara perkara utama yang perlu dilakukan dalam prosedur operasi standard (SOP) untuk bantuan bencana.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas gambar diambil pesawah perlu membuat laporan polis bagi membolehkan nama mereka dimasukkan dalam senarai.

"Jabatan Pertanian akan turun dan buat anggaran kerosakan. Kita akan tengok dari segi jadual tanaman padi untuk tentukan berapa lama padi ditanam dan dari situ boleh dianggarkan berapa kos yang telah dikeluarkan pesawah," katanya,

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan di pusat penempatan sementara (PPS) Lubuk Batu di Dewan PPK di sini pada Khamis.

Iklan

Sebanyak 43 pek makanan disampaikan kepada ketua isi rumah di PPS berkenaan yang disediakan oleh Kementerian Pertanian Keterjaminan Makanan melalui LPP.

Menurutnya, laporan lengkap kerosakan akibat bencana itu kemudiannya akan dikumpulkan dan dibawa ke peringkat negeri untuk tindakan selanjutnya sebelum menentukan jumlah bantuan yang akan disalurkan kepada petani yang terlibat.

Iklan

"Setakat ini sebanyak 93 pesawah terjejas apabila hampir keseluruhan 232 hektar kawasan sawah di PPK Lubuk Batu ditenggelami banjir sejak Isnin," katanya.