KUALA TERENGGANU - Pengukuhan nilai ringgit dan ekonomi berkembang pada masa ini antara punca rakyat Malaysia memilih untuk melancong ke luar negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengukuhan ringgit tersebut disebabkan kekuatan ekonomi selain pelaburan yang masuk ke dalam negara ini.
"Alhamdulillah... ringgit kita makin mengukuh. Kalau kita tengok dari segi kenaikan tahun ini sahaja ringgit telah pun ada pengukuhan lebih kurang tujuh peratus. Isu ringgit itu bukan isu kita (kerajaan) kerana kita percaya dari segi kekuatan ekonomi dan pelaburan masuk dalam negara, ringgit akan kukuh.
"Kedua dari segi ekonomi di mana ekonomi sudah banyak berkembang. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun pertama naik sebanyak 4.2 peratus manakala suku kedua pula KDNK naik sebanyak 5.9 peratus dan itulah tanda ekonomi kita makin baik.
"Jadi apabila ekonomi semakin baik dan rakyat dapat lebih wang maka saya faham ada yang ingin bercuti di Thailand tetapi kita galakkan mereka terokai tempat pelancongan dalam negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi libat urus bersama pengiat pelancongan Terengganu berkenaan Belanjawan 2025 di Muzium Terengganu di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, Amir Hamzah, berkata, pihaknya mengalakkan rakyat untuk mengambil peluang daripada pengukuhan nilai ringgit tersebut untuk menerokai pelancongan menarik yang ditawarkan dalam negara.
Beliau berkata, meskipun keadaan ekonomi semakin baik dan rakyat mempunyai belanja lebih untuk melancong ke luar negara namun mereka digalakkan untuk memilih negara ini sebagai destinasi percutian pilihan susulan terdapat banyak tempat menarik dan khazanah di Malaysia masih belum diterokai.
"Lawatilah negara sendiri kerana ada banyak khazanah negara, khazanah semula jadi, benda-benda baharu dalam negara selain berharap mereka bangga terhadap tempat pelancongan yang ada di negara ini.
"Ini bermakna pengusaha-pengusaha pelancongan tempatan juga memainkan peranan untuk menerangkan apa (keistimewaan) yang ada dalam negara ini sekali gus menarik kedatangan pelancong," jelasnya.
Ketika ditanya perkara menjadi 'game changer' Malaysia dalam persaingan antara negara jiran yang menawarkan harga hotel dan makanan murah, Amir Hamzah menyatakan promosi adalah platform terbaik.
"Semasa Covid-19 dahulu, ramai rakyat tempatan melancong dalam negara dan mereka ada menjumpai tempat menarik yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini sebagai contoh Sabah dan Sarawak.
"Saya rasa dalam negara ini sudah memang ada banyak (tempat menarik dan kita kena pandai promosi sahaja. Kita kena meningkatkan dengan menguar-uarkan perkara ini supaya orang ramai akan tertarik.
"Jadi apabila menjadi viral maka saya rasa kita tak perlu nak bersaing siapa tawarkan paling murah sebaliknya siapa tawarkan pengalaman paling terbaik," ujarnya.