Pensyarah digesa tidak keluar kenyataan di luar kepakaran, elak kekeliruan

Iklan
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (kanan) bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-67 di Pusat Konvensyen, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) pada Khamis. Foto Bernama

PAGOH - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggesa pensyarah tidak mengeluarkan kenyataan di luar bidang kepakaran bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kementerian tidak menyekat 'kebebasan akademik' dalam kalangan pensyarah namun setiap kenyataan dikeluarkan harus bersandarkan kepakaran masing-masing.

Iklan
Iklan

"Tetapi yang menjadi masalah kepada masyarakat apabila seorang bergelar profesor, doktor, profesor madya dan sebagainya berbicara di luar bidang kepakaran dan sering kali menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

"... dan sebab itu saya harap supaya para pensyarah kita memberikan tumpuan kepada kepakaran (masing-masing),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan sambutan Bulan Kebangsaan ke-67 di Pusat Konvensyen, Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) di sini hari ini.

Iklan

Awal September lepas, Persatuan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam kenyataan di Facebook persatuan berkenaan mengingatkan ahlinya bercakap dalam bidang kepakaran masing-masing terutamanya dalam perbahasan awam bagi menjaga integriti universiti itu.

Peringatan itu susulan kecaman netizen terhadap seorang pensyarah universiti berkenaan yang mengaitkan isteri Rasullullah, Khadijah, dengan alam Melayu dalam ceramahnya.

Iklan

Sementara itu, Zambry berkata, beliau telah berbincang dengan naib canselor universiti awam dan universiti swasta di negara ini berhubung penambahbaikan kerangka pengajian tinggi.

Beliau berkata, penambahbaikan berkenaan selaras perkembangan dunia, khususnya dalam bidang-bidang baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) serta keperluan tenaga kerja.

"(Perkembangan ini) memerlukan pendekatan baharu dalam sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.

Pada Mac lepas, Zambry dilaporkan berkata, kerangka pendidikan tinggi negara perlu diubah mengikut kehendak semasa seiring perubahan landskap pendidikan dunia.

Beliau berkata, kementerian juga amat menggalakkan semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti untuk menjalin kerjasama dan persefahaman dengan institusi pendidikan tinggi serta pemain industri di luar negara sejajar dasar dan strategi pengantarabangsaan yang dibangunkan KPT. - Bernama