ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan segera menyalurkan bantuan awal kepada mangsa banjir di negeri ini menerusi ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 itu akan diselaraskan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah terbabit.
Menurutnya, selain itu, Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan Persekutuan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara sebanyak RM1,000 akan disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah kepada semua KIR yang berpindah ke PPS.
"Kegagalan untuk berpindah ke PPS atau mematuhi prosedur yang ditetapkan akan menyebabkan mangsa tercicir daripada senarai penerima bantuan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Sanusi berkata, bagi mempermudahkan urusan mangsa banjir, anggota polis akan ditempatkan di setiap PPS agar setiap KIR dapat membuat laporan dengan segera.
"Saya juga ingin menasihatkan semua individu terbabit agar mematuhi setiap arahan pihak berkuasa jika diarahkan berpindah ke PPS,” ujarnya.
Menurutnya lagi, PKOB negeri dan PKOB daerah akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh bencana untuk memantau dan mengawasi keadaan dari semasa ke semasa.
"Ibu bapa diminta awasilah anak-anak anda bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.
"Ini adalah ujian daripada ALLAH SWT, banyakkan berdoa supaya keadaan tidak lebih mudarat dan dipermudahkan urusan bagi kita semua,” ujarnya.
Setakat Khamis, sebanyak 29 PPS dibuka di tujuh daerah iaitu Kota Setar (8), Pokok Sena (4), Pendang (3), Kubang Pasu (7), Bandar Baharu (1), Kulim (3) dan Kuala Muda (3).
Seramai 3,835 mangsa dengan 1,137 KIR ditempatkan di kesemua PPS berkenaan.