PUTRAJAYA - Pakar pendidikan secara konsisten menyuarakan sokongan agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan sebelum ini dikembalikan semula.
Pakar Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Anuar Ahmad itu dilihat senada dengan hasrat Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Anuar berpandangan, pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sejak tujuh tahun berlalu tidak berjaya seperti yang diharapkan.
Malah katanya, sejak ia dilaksanakan, tiada sebarang rasmi peringkat kebangsaan dibuat mengenai keberkesanan PBD.
"Oleh itu, saya berpandangan buat masa ini adalah lebih baik UPSR dan PT3 dikembalikan semula supaya kita dapat pulihkan kembali sistem pendidikan negara demi kebaikan anak-anak kita," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Ujar beliau, memilih untuk untuk kembali kepada UPSR dan PT3 bukanlah satu keputusan yang mudah kerana ia diibaratkan ditelan mati emak, diluah mati bapa.
"Ini adalah satu keputusan yang bersifat memilih yang buruk daripada yang terburuk.
"Pilihan ini dibuat kerana saya tidak boleh lagi bergantung harap pada pelaksanaan PBD yang tidak jelas hala tuju dan keberkesanannya," jelas Anuar.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi mendedahkan pemansuhan UPSR telah menyebabkan penurunan drastik pencapaian murid dalam Ujian Kemasukan Ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM MRSM) terutama pelajar luar bandar dan daripada keluarga berpendapatan rendah.
Isnin lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga perlu disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M).
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perbincangan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini menyedari isu 3M adalah antara punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
UPSR dimansuhkan pada tahun 2021 disusuli PT3 setahun selepas itu ketika dunia termasuk Malaysia sedang bergelut dengan penularan Covid-19.
Sementara itu, Anuar menjelaskan data-data kemerosotan murid dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022, angka keciciran 3M di sekolah rendah sehingga sekolah menengah serta data pencapaian Matematik yang rendah dalam SPM 2022 dan 2023 menyokong keputusan beliau memilih USPR serta PT3 dikembalikan.
"Ya, pada saya PBD memang telah gagal. Tapi ini bukan kerana salahnya prinsip PBD kerana di atas kertas ia memang kaedah pentaksiran yang baik.
"Bukan juga salah guru-guru di sekolah yang telah cuba melaksanakan PBD semampu mungkin.
"Kegagalan PBD di negara ini berpunca dari perancangan dan persiapan ekosistem PBD yang kurang berjaya," katanya.
Tegas beliau, jika ekosistem PBD bersedia sejak 2017, sudah pasti ia akan berjaya seperti mana kejayaan PBD di negara Eropah dan Scandinavia.
"Malangnya, ekosistem kita belum bersedia untuk laksanakan PBD.
"Pilihan saya untuk menyokong supaya kembalikan UPSR dan PT3 bukan kerana peperiksaan berpusat adalah kaedah pentaksiran yang terbaik.
"Pilihan ini dibuat kerana saya tidak boleh lagi bergantung harap pada pelaksanaan PBD yang tidak jelas hala tuju dan keberkesanannya," ujar beliau.
Tambahnya, anak-anak tidak boleh lagi terus menjadi mangsa kecelaruan PBD.
"Maka, saya harus berani memilih setelah menimbang semasak-masaknya. Pada saya, kembalikanlah UPSR dan PT3.
"Pada masa yang sama, jika masih berhajat pada PBD, rancanglah sebaiknya ekosistem PBD untuk dilaksanakan pada masa depan.
"Tetapi buat masa ini, cukuplah. Sudah tujuh tahun lamanya saya memberi sepenuh harapan pada PBD, akhirnya kecewa," katanya.