Peletakan jawatan Tetuan KPMG PLT sebahagian amalan tadbir urus rutin

Iklan
BDB telah menyenarai pendek BDO PLT sebagai juruaudit baharu sementara menunggu dokumentasi rasmi selesai untuk memuktamadkan pelantikan.

PELETAKAN jawatan Tetuan KPMG PLT sebagai juruaudit luar Bina Darulaman Bhd (BDB) pada 9 September 2024 merupakan sebahagian daripada amalan tadbir urus rutin berikutan lanjutan tempoh perkhidmatan selama 10 tahun dari tahun kewangan 2014 hingga 2023.

Lembaga Pengarah BDB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menghargai jasa KPMG dan berharap dapat meneruskan hubungan positif semasa peralihan ini.

Iklan
Iklan

Katanya, adalah penting untuk dijelaskan bahawa KPMG masih belum mengaudit laporan kewangan pada tahun ini dan peralihan itu tidak akan menjejaskan integriti kewangan BDB.

"Oleh itu, BDB telah menyenarai pendek BDO PLT sebagai juruaudit baharu, sementara menunggu dokumentasi rasmi selesai untuk memuktamadkan pelantikan, selaras dengan objektif strategik.

Iklan

"Lembaga Pengarah BDB menegaskan, peralihan ini tidak akan memberi kesan kepada operasi dan kumpulan akan terus memenuhi semua keperluan peraturan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Lembaga Pengarah berkata, mereka yakin perubahan dalam juruaudit luar akan memastikan kelancaran proses pelaporan kewangan dan membolehkan syarikat mendapat manfaat daripada perspektif dan pandangan baharu firma audit lain.

Iklan

"BDB dan lembaga pengarahnya komited sepenuhnya untuk mendukung standard tertinggi tadbir urus korporat, mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2021 (MCCG 2021)," katanya.

Sebelum ini, kumpulan itu telah menerima notis bertulis bertarikh 9 September lalu daripada KPMG mengenai peletakan jawatannya mengikut Seksyen 281 Akta Syarikat 2016.

KPMG telah dilantik semula sebagai juruaudit BDB semasa mesyuarat agung tahunan ke-29 kumpulan itu pada 30 Mei 2024.

Peletakan jawatan KPMG adalah berdasarkan persetujuan bersama untuk membolehkan syarikat mendapat manfaat daripada perspektif dan pandangan baharu firma audit lain.