[VIDEO] Air pasang besar: Rumah, kebun terjejas banjir

Iklan

BAGAN DATUK - Kediaman dan kebun milik penduduk di sekitar Kampung Sungai Payung antara yang terjejas ekoran fenomena air pasang besar yang berlaku sejak Rabu.

Mangsa banjir, Rosli Ngadri, 50, berkata, rumahnya dinaiki air sekitar jam 7.30 pagi secara tiba-tiba susulan fenomena berkenaan.

Iklan
Iklan
Keadaan kawasan rumah Marzuki yang dinaiki air akibat fenomena air pasang besar di Kampung Sungai Payung di sini pada Khamis.

Menurutnya, kejadian tersebut merupakan kali kedua berlaku dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Rosli

"Banjir kali ini lebih teruk sampai masuk dalam rumah. Tahun lepas memang ada banjir tetapi tidaklah sampai masuk ke dalam rumah.

Iklan

"Selepas air naik, saya minta tolong saudara-mara terdekat untuk alihkan segera barang-barang elektronik dan perabot bagi mengelak ia rosak," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Sungai Payung di sini pada Khamis.

Rosli yang mempunyai empat orang anak berkata, disebabkan banjir itu keluarganya terpaksa menyewa sementara inap desa berhampiran kerana diramalkan air pasang besar akan berlaku sehingga Sabtu.

Iklan

Menurutnya, selain rumah, kebun kelapa sawitnya juga turut terjejas kerana air laut akan mengganggu pertumbuhan tanaman tersebut.

Seorang lagi mangsa banjir, Marzuki Idris, 87, berkata, ketika air naik dia berada di dalam rumah berseorangan sebelum anaknya yang tinggal berhampiran datang membantu.

Menurutnya, banjir yang berlaku tidak merosakkan banyak barang-barang kerana ia telah diletakkan di tempat lebih tinggi.

Aman Muzaffar Shah

Bagi penduduk, Aman Muzaffar Shah Azman, 35, kejadian banjir yang disebabkan air pasang besar itu dipercayai berpunca daripada keadaan ban pecah di Bagan Sungai Tiang.

Menurutnya, jika keadaan berterusan dibimbangi banjir lebih buruk berlaku dan lebih banyak kebun digenangi air.

Jelasnya, zon penampan perlu diwujudkan dengan tanaman pokok bakau bagi mengurangkan kesan ombak selain membaik pulih ban yang rosak.

Mustaid

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Kawasan Bagan Datuk, Mustaid Saifuddin yang turut meninjau banjir dan keadaan ban rosak di Bagan Sungai Tiang mengharapkan tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkaitan.

Menurutnya, baik pulih ban berkenaan sangat penting dalam memastikan air laut tidak melimpah masuk ke kawasan penduduk setiap kali berlaku fenomena air pasang besar.