'Bahim sempat jamah bihun goreng sebelum ditemukan lemas' - Ibu

Iklan
Nur Kamilah (kanan) bersama suami, Muhammad menunjukkan gambar anak mereka, Ibrahim yang hilang dan ditemukan lemas dalam parit di Taman Usrah dekat Kampung Renek, Besut pada malam Rabu.

BESUT - Ibu kepada kanak-kanak yang ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah parit di Taman Usrah dekat Kampung Renek di sini sempat menyuap anaknya bihun goreng sebelum kanak-kanak itu hilang dan ditemukan lemas.

Nur Kamilah Ripin @ Arifin, 36, berkata, anak keduanya, Ibrahim Adham Muhammad, 6, atau lebih mesra dipanggil sebagai Bahim menjamah hidangan itu pada majlis sambutan hari lahir ahli keluarga mereka pada malam Rabu.

Iklan
Iklan

"Semalam arwah nampak begitu berselera makan bihun goreng yang saya suap, selepas itu dia bermain di halaman rumah dengan dipantau oleh ayahnya dan ahli keluarga lain.

"Semua ahli keluarga akan memantau Bahim kerana dia merupakan anak istimewa, namun kami semua tidak sedar dia hilang, semuanya berlaku dalam sekelip mata.

Iklan

"Sebelum ini, dia tidak pernah bermain di kawasan parit itu setiap kali kami sekeluarga pulang ke kampung halaman di sini," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Renek di sini pada Khamis.

Ibrahim yang hilang dan ditemukan lemas dalam parit di Taman Usrah dekat Kampung Renek, Besut pada malam Rabu.

Jenazah Ibrahim Adham yang tinggal di Lipis, Pahang selamat selamat dikebumikan kira-kira jam 2.30 petang.

Iklan

Sementara itu, bapa kanak-kanak tersebut, Muhammad Rajab, 36 berkata, walaupun masih terkejut, mereka sekeluarga pasrah dengan ujian ALLAH SWT dan pemergian Ibrahim.

Menurutnya, pemergian anaknya itu memberi kesan yang mendalam kerana hubungan mereka berdua begitu rapat.

"Saya tidak tahu bagaimana keadaan selepas ketiadaan Ibrahim Adham kerana sudah menjadi rutin setiap malam dia akan tidur dan bermain bersama saya," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah parit dalam kejadian pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira jam 9 malam oleh keluarga dan penduduk kampung.

Katanya, mayat mangsa ditemukan di dalam parit yang terletak kira-kira 10 hingga 20 meter dari rumah datuknya selepas dilaporkan hilang sejak jam 6.30 petang hari yang sama.

"Mangsa dikatakan tinggal di Lipis, Pahang dan pulang ke kampung bersama ibu bapanya sewaktu musim cuti persekolahan ini.

"Mangsa dikatakan hilang ketika majlis sambutan hari lahir ahli keluarga yang diadakan di rumah datuknya," ujar beliau.