Perak pastikan tiada pelajar miskin tercicir masuk universiti

Iklan
Khairudin ketika bercakap kepada pemberita pada Khamis.

IPOH - Kerajaan Perak akan memastikan semua pelajar miskin dan tidak berkemampuan di negeri ini mendapat bantuan sewajarnya untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah digerakkan memberi keutamaan dalam perkara itu terutama melibatkan keluarga di bawah pendapatan RM3,000.

Iklan
Iklan

Menurutnya, di bawah insentif Siswa Yayasan Perak, pelajar yang kurang berkemampuan boleh membuat permohonan mendapatkan dana sekali beri bagi membolehkan pelajar mendaftar diri sebagai mahasiswa baharu.

"Bantuan ini diberikan berdasarkan skop pengajian pemohon, kalau sijil ada amaunnya, begitu juga bagi diploma mahupun ijazah sarjana muda.

Iklan

"Bagi MAIPk pula, kita ada Baitulmal (Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal) yang memang menjadi tumpuan utama mahasiswa baharu mendapatkan bantuan agar mereka mempunyai ruang meneruskan pengajian," katanya.

Khairudin (barisan belakang, empat dari kanan) bersama sebahagian barisan atlet Para Sukma Perak 2024.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para Sukan Malaysia (Sukma) Negeri Perak ke Temasya Para Sukma Sarawak kali ke 21 di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Nor Azah Ahmad Dahalan selaku ketua kontinjen serta Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Mazlan Mohamad.

Khairudin berkata, setakat ini, belum ada laporan dan aduan diterima berkaitan pelajar negeri ini yang berdepan kekangan pembiayaan pengajian sehingga tidak dapat mendaftarkan diri ke universiti.

Begitupun pihaknya meminta mana-mana pelajar dan ahli keluarga yang mempunyai masalah sedemikian untuk segera berhubung dengan Yayasan Perak atau pejabatnya bagi mendapatkan bantuan dan insentif disediakan.

"Kita tak mahu nanti ada kalangan anak-anak Perak yang cemerlang dalam peperiksaan awam, tidak dapat meneruskan pengajian hanya kerana masalah kewangan.

"Sedaya upaya kita bantu sehingga mereka ini dapat menamatkan pengajian dan sudah pasti kejayaan mereka akan membantu pembangunan negeri Perak itu sendiri," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan arahan telah dikeluarkan kepada semua pentadbir universiti agar menerima kemasukan pelajar miskin dan daif yang tidak berkemampuan.

Antara bantuan segera yang boleh dilakukan adalah dengan menyalurkan wang pendahuluan bagi membolehkan pelajar mendaftar diri sebagai mahasiswa baharu di universiti berkenaan.