Polis kenal pasti identiti dua beranak pelancong China maut

Iklan
Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan satu daripada dua mayat rakyat asing yang maut selepas kereta dinaiki dihempap pokok tumbang di Lebuh Gereja pada Rabu. Foto Bernama

GEORGE TOWN - Identiti dua pelancong warga China yang menjadi mangsa pokok tumbang di pekarangan Penang Peranakan Mansion, Lebuh Gereja di sini semalam telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, lelaki dan anak perempuannya itu dikenali sebagai Liu Zhu, 69, dan Liu Xinxin, 36, yang sepatutnya mendaftar keluar dari hotel di Tanjung Bunga di sini.

Iklan
Iklan

"Mereka tiba di Pulau Pinang dengan penerbangan terus dari China pada 14 September lepas untuk melancong di negara ini dan difahamkan mereka akan mendaftar keluar dari hotel hari ini bagi meneruskan percutian di Malaysia.

"Bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati kedua-dua mangsa maut kerana sesak nafas traumatik pada seseorang yang terperangkap dalam kenderaan akibat pokok tumbang," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Iklan
Keadaan kereta yang dihempap pokok tumbang di Lebuh Gereja pada Rabu. Foto Bernama

Beliau berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kejadian itu kepada kedutaan China dan keluarga mangsa.

Razlam berkata, keluarga mangsa memaklumkan akan datang untuk menuntut mayat dua beranak itu secepat mungkin dan dibawa balik ke China.

Iklan

"Sekarang ini mayat kedua-dua mangsa ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik HPP sehingga keluarga mereka datang tuntut," katanya.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki dan anak perempuannya maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang bersama bongkah konkrit runtuhan bangunan.

Pegawai Zon Daerah Timur Laut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Syafiq Nor Azman dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.19 petang dan difahamkan ketika kejadian, mangsa baru sahaja masuk ke dalam kereta yang diletakkan di pekarangan Penang Peranakan Mansion. - Bernama