Tambah baik fasiliti Taman Permainan Nuri Bank Rakyat

Iklan
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani (lima dari kiri) bergambar di Taman Permainan Nuri Bank Rakyat pada Rabu.

TAIPING - Penambahbaikan berterusan terhadap fasiliti Taman Permainan Nuri Bank Rakyat di Taman Tasik Taiping membuktikan kumpulan perbankan itu sentiasa berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbang semula kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani berkata, antara penambahbaikan ruang riadah itu adalah menukar peralatan permainan yang rosak dan berkarat selain mengecat semula bagi memberi tambah nilai kepada kawasan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut Nizam, pihaknya kerap berbuat demikian bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin ketika menggunakan Taman Permainan Nuri Bank Rakyat.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani ketika berucap pada Majlis Perasmian Taman Permainan Nuri Bank Rakyat pada Rabu.

"Taman permainan ini merupakan salah satu taman permainan yang dibangunkan oleh Bank Rakyat pada tahun 2012, selain di Menara Alor Setar, Kedah.

Iklan

"Setiap tiga atau empat tahun kita akan buat penambahbaikan. Ini kerana faktor cuaca seperti hujan dan panas menyebabkan ada bahagian permainan yang berkarat serta pecah seterusnya tidak selamat untuk anak-anak bermain di sini," katanya ketika hadir pada Majlis Perasmian Taman Permainan Nuri Bank Rakyat di sini pada Rabu.

Tambahnya, usaha penambahbaikan fasiliti itu bukan sahaja menawarkan ruang riadah yang selamat dan menyeronokkan untuk kanak-kanak tetapi juga merupakan simbolik bagi generasi muda untuk membesar dalam suasana yang sihat dan positif.

Iklan

Jelas beliau, ia merupakan salah satu daripada komitmen berterusan Bank Rakyat dalam memperkasa komuniti dan membangunkan fasiliti yang mesra keluarga.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi, Nizam Sani ketika sidang akhbar pada Majlis Perasmian Taman Permainan Nuri Bank Rakyat pada Rabu.

"Kami percaya bahawa kemajuan sesebuah komuniti bermula dengan kesejahteraan setiap ahli masyarakatnya dan inisiatif seperti ini adalah langkah kecil tetapi signifikan ke arah mencapai tujuan tersebut," katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Taman Tasik Taiping sebagai tempat untuk membina Taman Permainan Nuri Bank Rakyat, Nizam memberitahu, Taiping mempunyai kawasan yang menarik dan bersejarah.

"Pelbagai warisan yang ada di Taiping, orang luar pun datang ke sini. Jadi saya rasa ia memang sesuai.

"Dalam masa sama, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Taiping kerana menyediakan tapak untuk kami membina taman permainan ini," ujarnya.