Keterangan saksi bersandarkan kepada dengar cakap perlu dipadam - Peguam Najib

Iklan
Najib hadir bagi mengikuti prosiding hujahan akhir pendakwaan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Keterangan saksi yang bersandarkan kepada dengar cakap pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram hendaklah diabaikan oleh Mahkamah Tinggi kerana ia tidak dapat disahkan.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ia secara khusus merujuk kepada kenyataan bekas Setiausaha Sulit Najib iaitu Allahyarham Datuk Azlin Alias dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang didakwa oleh pihak pendakwaan sebagai alter ego Najib dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Iklan
Iklan

Beliau merujuk kepada keterangan bekas pegawai khas Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazarudin yang mendakwa Azlin dan Jho Low bertindak bagi pihak bekas Perdana Menteri itu.

Muhammad Shafee. Foto Bernama

"Kebenaran kenyataan mereka tidak boleh disahkan kerana seorang daripada mereka telah meninggal dunia manakala keberadaan yang seorang lagi masih tidak diketahui.

Iklan

"Banyak kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Datuk Azlin diulang oleh saksi bagi menunjukkan bahawa Datuk Seri Najib adalah pembuat keputusan untuk transaksi berkaitan," katanya ketika berhujah pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Muhammad Shafee juga berkata, mana-mana kenyataan yang dikaitkan dengan Azlin serta diulang oleh saksi terbabit tidak dapat disahkan untuk membuktikan ketepatannya sekali gus menjadikan ia hanyalah dengar cakap dan justeru itu, tidak boleh diterima oleh mahkamah.

Iklan

"Sebarang keterangan saksi yang kononnya dibuat oleh Datuk Azlin tidak boleh diterima dan hendaklah dipadam daripada rekod perbicaraan," katanya.

Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau juga didakwa atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan bank yang sama antara 12 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Perbicaraan bersambung 30 September ini. - Bernama