KLUANG - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pembangkang untuk bersikap lebih sensitif dan tidak menggunakan nama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain sebagai bahan kempen.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pembangkang juga sepatutnya menghormati dan menjaga sensitiviti keluarga Allahyarham.
"Dalam bentuk kempen apa sekalipun, kita harus menghormati sama ada orang itu masih hidup atau telah tiada dan harus menjaga perasaan ahli keluarga.
"Saya fikir pendekatan terbaik adalah dengan menyantuni, mempunyai ketertiban kerana yang kita mahu isi (memilih wakil rakyat) di sini adalah untuk menggantikan seorang wakil rakyat yang telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Mahkota di sini.
Beliau diiringi Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Naib Presiden UMNO.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa yang didakwa memuat naik hantaran di Facebook mengenai penganjuran majlis tahlil untuk Sharifah Azizah, namun keluarga Allahyarham kemudiannya menafikan mereka mengetahui mengenai majlis itu.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, sudah tiba masanya untuk menghentikan pendekatan lama dalam berkempen seperti menimbulkan kebencian atau melakukan sesuatu di luar norma politik dan kaedah kempen hanya untuk meraih sokongan pengundi.
Ditanya mengenai pergeseran antara Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dari DAP berhubung isu pensijilan halal, Ahmad Zahid menganggap isu tersebut sudah tamat selain beliau juga telah mengeluarkan kenyataan berkaitan pendirian kerajaan dalam isu halal malam tadi.
"Dah reda (tone down), saya sendiri telah berjumpa dengan Dr Akmal pada 14 September lepas bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan saya juga telah memberitahu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengenai perkara itu. Jadi isu ini telah ditutup," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perjalanan kempen PRK DUN Mahkota yang masuk hari keenam pada Khamis lancar dan semuanya dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, Onn Hafiz yang juga Pengarah PRK itu berkata, jentera parti tidak boleh berasa selesa kerana masih banyak yang boleh dilakukan bagi memastikan BN terus mengekalkan kerusi DUN tersebut.
"Kita anggap kita sebagai bukan pilihan (underdog) dan kita akan berusaha dengan lebih gigih untuk menyantuni setiap pengundi di sini," katanya.
PRK DUN Mahkota pada 28 September ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah, 63, di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini pada 2 Ogos lepas. - Bernama
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini!.