SHAH ALAM - Personaliti media sosial dan usahawan, Khairul Aming berkongsi kegembiraan menerima surat penghargaan daripada Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.
Khairul Aming atau nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman, 32, berkata, ia berikutan kehadiran pihak berkenaan ke Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, kandungan tersebut memaklumkan bahawa Luxon tidak meragui bakatnya untuk membina jenama sendiri.
"Terima kasih kerana meluangkan masa daripada jadual padat untuk mengajar menyediakan roti jala dan cendol serta menyajikan hidangan tempatan yang lazat.
"Saya dapati video sarapan kita sudah mencecah lapan juta tontonan di Instagram dalam beberapa hari. Saya tahu itu adalah pencapaian yang luar biasa.
"Industri pelancongan New Zealand pastinya menghargai usaha anda selepas mendengar refleksi itu secara langsung,” kata surat yang dikongsi Khairul Aming.
Pada 3 September lalu, Khairul Aming menyambut kedatangan Luxon di restoran Hidang KL dan sempat menyediakan hidangan sarapan berupa roti jala air tangannya sendiri dan teh tarik.
Anak kelahiran Kota Bharu itu sinonim dengan siri video Ramadan berjudul 30 Hari 30 Resepi saban tahun.
Sehingga kini, graduan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Vanderbilt di Amerika Syarikat memiliki dua kilang di Kota Bahru.
Khairul Aming turut meminta orang ramai mendoakan dia dapat meneruskan kerjaya sebagai pencipta kandungan yang mampu mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.